Sabtu, 13 April 2019 | 2:08pm
Kebakaran hutan di kawasan Kuala Baram, Miri, Isnin lalu menyebabkan jarak penglihatan sepanjang Jalan Kuala Baram Lama menjadi terhad. - NSTP/Kandu Sidi
Kebakaran hutan di kawasan Kuala Baram, Miri, Isnin lalu menyebabkan jarak penglihatan sepanjang Jalan Kuala Baram Lama menjadi terhad. - NSTP/Kandu Sidi

Purata 13 kes kebakaran hutan sehari di wilayah utara Sarawak

MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak merekodkan 13 kes kebakaran hutan dilaporkan setiap hari sejak bulan lalu di wilayah utara negeri ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata hasil pemantauan mendapati kebanyakan kes berkenaan disengajakan untuk pelbagai tujuan, termasuk kegiatan pertanian.

Katanya, perkembangan itu jelas memperlihatkan tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan orang ramai terhadap kesan negatif berkaitan, termasuk risiko kebakaran lebih besar selain boleh menyebabkan berlakunya jerebu, terutama ketika musim panas dan kering ketika ini.

“Ada di antara lokasi kebakaran terletak di kawasan terpencil dan sukar untuk mendapatkan sumber air. Ia menyebabkan beberapa kebakaran hutan di wilayah utara negeri ini sukar dipadamkan.

“Biarpun sering kali kita mengeluarkan peringatan supaya tidak dilakukan pembakaran terbuka, nampaknya amaran itu seolah-olah tidak diendahkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, hakikat itu menyebabkan pegawai dan anggotanya dikerahkan bertugas tanpa mengira waktu untuk memadamkan kebakaran supaya tidak merebak.

Katanya, sukar bagi pihaknya memadamkan kebakaran terutama di kawasan tanah gambut akibat keadaan tanah yang amat kering seperti sekarang.

Justeru, beliau mahu penduduk di utara negeri ini memberi perhatian serius dan berhenti melakukan pembakaran terbuka.

“Kita juga minta mereka melaporkan individu yang bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka supaya dapat dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan setiap penduduk lebih bertanggungjawab dan tidak melakukan pembakaran terbuka yang menyusahkan orang ramai.

Berita Harian X