Khamis, 11 April 2019 | 11:40am
2019. Graduan penternak kambing, Ahmad Zharif Anuar, 28, memantau kambing peliharaannya diternak di Kampung Belukar, Machang. - Foto Hazira Ahmad Zaidi

Graduan penternak kambing

MACHANG: Selepas beberapa kali gagal menghadiri berpuluh temu duga untuk mendapatkan kerja, lelaki ini tekad menceburkan diri dalam bidang penternakan.

Ahmad Zharif Anuar, 28, adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dan Kejurulatihan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mula mengusahakan penternakan kambing secara kecil-kecilan pada 2016.

Katanya, dia menamatkan pengajian pada 2017 dan lebih setahun dia berulang-alik mencari pelbagai kerja selain menghadiri temu duga untuk mendapatkan pekerjaan, namun rezeki tidak memihak kepadanya untuk bekerja dalam sektor kerajaan atau swasta.

“Semasa di tahun akhir pengajian, saya sudah mula berjinak dengan bidang penternakan dan pada ketika itu saya mengeluarkan modal sebanyak RM3,000 untuk membeli tujuh ekor kambing.

“Namun, pada awal tahun ini, saya mula memberi fokus sepenuhnya dalam bidang penternakan kambing dan ayam ratu selepas gagal mendapatkan kerja.

“Walaupun ini bukan pekerjaan glamor yang diminati golongan muda, namun hasil usaha yang bersungguh-sungguh, saya kini sudah mempunyai hampir 300 ekor kambing daripada pelbagai baka termasuk Jamnapari, Boer, Savana dan kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Belukar, di sini, baru-baru ini.

Katanya, dia tidak pernah menyesal memilih menjadi penternak kambing meskipun memiliki segulung ijazah.

“Hasil jualan kambing, dalam sebulan saya mampu mendapat pulangan sehingga RM5,000 dan kebiasaannya seekor kambing dijual bermula dengan harga RM600 hingga RM1,600 mengikut saiz dan berat.

“Selain kambing, saya juga menjual dan memelihara ayam ratu dan mampu menjana pendapatan melebihi RM1,000 sebulan mengikut permintaan semasa.

“Fokus saya ialah ternak dan jual. Asal ada orang datang nak beli, saya jual terus tanpa bertangguh. Wang yang diperoleh dikumpul untuk membeli dan menambah jumlah ternakan,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Fasha Rashada Saari,24 dan mempunyai dua cahaya mata.

Katanya, berkat kesungguhan dalam mengusahakan penternakan kambing dan ayam ratu, ternakannya itu mendapat permintaan di beberapa negeri termasuk Terengganu, Selangor dan Perak sekali gus membuka ruang untuknya melebarkan sayap dalam bidang yang mampu memberi pulangan lumayan.

Berita Harian X