Rabu, 10 April 2019 | 3:07pm
Kebakaran hutan menyebabkan asap tebal menganggu penglihatan pengguna jalan raya di utara Sarawak. - NSTP/Kandau Sidi
Kebakaran hutan menyebabkan asap tebal menganggu penglihatan pengguna jalan raya di utara Sarawak. - NSTP/Kandau Sidi

13 kes hutan terbakar sehari

MIRI: Sejumlah 13 kes pembakaran hutan secara terbuka diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, di utara Sarawak, setiap hari sejak bulan lalu.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 6, Law Poh Kiong, berkata angka kes kebakaran itu agak tinggi, sekali gus menunjukkan tahap kesedaran orang awam terhadap isu itu masih rendah.

Beliau berkata, disebabkan kesukaran mendapatkan sumber air di kawasan hutan terbakar, beberapa kes hutan terbakar di utara negeri ini khususnya di Kuala Baram, belum dapat dipadamkan.

“Walaupun banyak amaran dan larangan melakukan pembakaran terbuka diumumkan, namun masih ramai penduduk tidak mengindahkan amaran itu.

“Justeru, ia mengakibatkan jumlah kes kebakaran hutan terutama di utara negeri ini meningkat terutama ketika cuaca kering ketika ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan anggotanya sentiasa dikerahkan tanpa mengira waktu siang atau malam untuk memadamkan kebakaran itu.

Katanya, sukar bagi pihaknya memadamkan kebakaran terutama di kawasan tanah gambut akibat keadaan tanah amat kering.

“Kita juga meminta orang awam melaporkan individu yang bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka supaya dapat dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan setiap penduduk lebih bertanggungjawab dan tidak melakukan pembakaran terbuka yang menyusahkan orang ramai.

Berita Harian X