Isnin, 8 April 2019 | 6:02pm
TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyaksikan pertukaran dokumen antara emangku Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dr Alvin Chai Lian Kuet dan Pengerusi penganjur Borneo Coffee Symposium 2019, Dr Kenny Lee Wee Ting di Kuching. - Foto Hazreen Mohamad

Kopi mampu jana ekonomi petani - Uggah

KUCHING: Petani di Sarawak digalakkan menanam kopi, yang kini menjadi tanaman baharu berpotensi membangunkan ekonomi terutama bagi petani luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menyarankan petani luar bandar meningkatkan penanaman kopi selain tanaman komersial seperti kelapa sawit, pisang atau nanas.

“Saya yakin kopi mampu membantu petani luar bandar meningkatkan pendapatan kerana ia mempunyai permintaan tinggi dan boleh dipasarkan ke seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian Sarawak dengan Earthling Coffee Workshop Sdn Bhd (Earthling Coffee) sempena Simposium Kopi Borneo di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail; Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Ik Pahon Joyik dan pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dr Alvin Chai Lian Kuet.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, berkata jika tanaman kopi dapat dibangunkan di Sarawak, ia secara tidak langsung mengatasi kebergantungan import kepada produk serbuk dan biji kopi.

“Nilai import Sarawak untuk produk dan biji kopi ketika ini agak tinggi iaitu sebanyak RM140 juta dan jika ramai petani kita beralih kepada tanaman kopi, sudah tentu kita tidak perlu lagi import produk kopi, sebaliknya kita pula yang menjadi pengeksport kopi menjelang 2030,” katanya.

Katanya lagi, perkongsian Sektor Awam-Swasta (PPP) dengan Earthling Coffee diharap dapat menggilap industri kopi di Sarawak.

Berita Harian X