Rabu, 3 April 2019 | 4:33pm

125,000 penduduk gembira tapak pelupusan sampah ditutup

KLUANG: Penutupan Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP, Renggam, di sini, adalah berita baik ditunggu lebih 125,000 penduduk selepas 10 tahun berdepan masalah bekalan air dicemari ammonia akibat aliran bahan larut resap.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, berkata selain penutupan tapak pelupusan sampah itu pada 26 Mac lalu, kerajaan memperuntukkan RM3.15 juta bagi memastikan bahan larut resap atau ‘leachate’ tidak lagi mencemarkan Sungai Ulu Benut dan Sungai Benut yang menjadi sumber bekalan air bersih penduduk.

Beliau berkata, peruntukan itu termasuk bagi projek penambahbaikan Loji Rawatan Leachate (LTP) di kawasan terbabit yang sebelum ini terjejas akibat operasi tapak pelupusan sampah berkenaan.

PUSAT Pelupusan Sampah di Ladang CEP Renggam, Kluang. - Foto Adnan Ibrahim.
PUSAT Pelupusan Sampah di Ladang CEP Renggam, Kluang. - Foto Adnan Ibrahim.

“SWM Environment akan membina halangan supaya tiada lagi limpahan atau aliran ‘leachate’ masuk ke dalam sungai, serta melakukan penutupan selamat di kawasan pelupusan sampah ini.

“Kita juga akan mengenal pasti punca pencemaran lain seperti penternakan ayam dan air kumbahan yang tidak dirawat dengan betul di sekitar kawasan berkenaan.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya masalah pencemaran sumber air ini dapat diatasi sepenuhnya,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian kepada media selepas melawat kawasan pusat pelupusan sampah berkenaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Muzaldin Mohamad; Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu; dan Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Muhamad Syukri Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk membersihkan Sungai Ulu Benut dan Sungai Benut

“Ranhill SAJ dan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) juga bersetuju sumber air mentah daripada Empangan Machap disalurkan terus ke Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam supaya penduduk di kawasan ini tidak hanya mengharapkan sumber air daripada Sungai Benut,” katanya

MASZLEE (tengah) diberikan taklimat berkaitan operasi SWM Environment untuk mengatasi air larut resap (lecet) ketika membuat lawatan kerja ke Pusat Pelupusan Sampah di Ladang CEP Renggam di Kluang. - Foto Adnan Ibrahim.
MASZLEE (tengah) diberikan taklimat berkaitan operasi SWM Environment untuk mengatasi air larut resap (lecet) ketika membuat lawatan kerja ke Pusat Pelupusan Sampah di Ladang CEP Renggam di Kluang. - Foto Adnan Ibrahim.
Berita Harian X