Khamis, 28 March 2019 | 12:53pm
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (enam dari kanan) bersama penerima Surat Hak Milik Tanah selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bahagian Sarikei di Rumah Sedau, Pakan, Sarikei. -Foto ihsan DCMO
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (enam dari kanan) bersama penerima Surat Hak Milik Tanah selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bahagian Sarikei di Rumah Sedau, Pakan, Sarikei. -Foto ihsan DCMO

47,532 lot kediaman kampung selesai sukat

LAWAS: Sebanyak 47,532 lot kediaman membabitkan 353 perkampungan selesai disukat tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata menerusi Program Pengukuran Kampung Tradsional itu, kerajaan negeri komited memastikan jaminan hak milik tanah terutama membabitkan perkampungan yang sudah lama wujud.

“Pengukuran lot kediaman perlu dilaksanakan bagi mengelak sebarang bentuk pencerobohan, selain memastikan tiada pertikaian antara individu.

“Jadi, tidak timbul dakwaan mengatakan penduduk kampung menjadi setinggan di tanah kediaman sendiri,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah, Lesen Pendudukan Sementara dan Cek Pampasan Tanah Bahagian Limbang di Dewan Masyarakat Sundar di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, sejumlah 92 penduduk menerima Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi Skim Pembesaran Kampung Kuala Lawas.

Selain itu, Awang Tengah turut menyampaikan cek pampasan bernilai RM6.13 juta kepada 33 pemilik tanah yang terbabit dalam projek pembangunan semula Kampung Datu, di sini.

Sementara itu, Awang Tengah berkata penyerahan cek berkenaan adalah bukti jelas kerajaan negeri tidak merampas tanah kerana setiap pengambilan yang dilakukan akan disertai penyerahan pampasan setimpal.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Urbanisasi dan Sumber Alam, berkata sebanyak 40 Skim Pembesaran Kampung dan Skim Penempatan Semula di negeri ini sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), membabitkan peruntukan RM333.42 juta.

“Antara objektif dua skim berkenaan adalah menyediakan kemudahan asas berkualiti bagi program penempatan semula setinggan, menampung pertambahan penduduk dan membina kediaman bagi rakyat berpendapatan rendah yang mempunyai tanah sendiri,” katanya.

Katanya, inisiatif terbabit penting untuk mengurangkan kepadatan penduduk, termasuk menyediakan prasarana asas lebih baik seperti jalan, perparitan, bekalan air serta elektrik.

Berita Harian X