CAMERON HIGHLANDS: Kawasan bekas kebun sayur yang diteroka secara haram akan ditanam semula dengan pokok jenis Gerok dan spesies lain secara berperingkat.
Proses penanaman itu akan dilaksanakan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak lama lagi.
Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata sebanyak 3,500 anak pokok jenis Gerok dan spesies lain yang sesuai bakal ditanam di kawasan seluas 120 hektar itu, selepas selesai proses pembersihan kawasan berkenaan oleh agensi penguatkuasa berkaitan.
“Operasi di kawasan kebun sayur haram itu sudah dilaksanakan baru-baru ini selepas 61 pekebun sayur dan bunga di kawasan Sungai Icat diberikan notis oleh kerajaan negeri untuk mengosongkan kawasan terbabit.
“Sebelum itu, operasi sama sudah dilakukan membabitkan kebun milik 11 individu dan kerja penguatkuasaan ini dijalankan secara berterusan sehingga semua kebun haram dikosongkan oleh pemilik,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata peringkat pertama projek menanam pokok itu akan dimulakan di kawasan seluas 0.5 hektar dan Ketua Penolong Pengarah Pembangunan JPNP, Norzalyta Modhd Ghazali serta pegawai UPM sudah melawat kawasan berkenaan minggu lalu.