Selasa, 26 March 2019 | 3:18pm
Wee Tse (kanan) melihat paras air terkini di empangan Machap akibat cuaca panas yang melanda Johor ketika melawat empangan tersebut di Machap, hari ini. - Foto BERNAMA
Wee Tse (kanan) melihat paras air terkini di empangan Machap akibat cuaca panas yang melanda Johor ketika melawat empangan tersebut di Machap, hari ini. - Foto BERNAMA

Bekalan air bersih pulih

SIMPANG RENGGAM: Kira-kira 99.5 peratus daripada 125,000 pengguna yang terjejas bekalan air selepas pencemaran ammonia di Sungai Benut sejak Sabtu lalu, mula menerima bekalan air bersih hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Negeri Johor, Jimmy Puah Wee, berkata kadar pencemaran di sungai yang menjadi sumber utama bekalan air di Simpang Renggam ini juga jatuh kepada 2.5 ppm berbanding 90 ppm ketika hari kejadian hingga Ahad.

Katanya, tindakan segera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kluang dengan melepaskan kira-kira 72,000 meter padu air selepas hari kejadian membolehkan paras ammonia di Sungai Benut diturunkan dan akan dihentikan sebaik keadaan air di Sungai Benut kembali normal.

“Kerajaan negeri akan berbincang dengan semua pihak berkaitan untuk menangani masalah ini kerana sebolehnya kita tidak mahu ia berulang yang secara tidak langsung menjejaskan aktiviti serta kehidupan penduduk di kawasan terbabit.

“Kami juga akan mengadakan pertemuan dengan pihak Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) serta Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bagi membincangkan kaedah untuk menangani masalah ini secara bersama,” katanya.

Wee Tse berkata demikian selepas melawat Empangan Machap di Simpang Renggam, Pusat Pelupusan Sampah di Ladang CEP Renggam dan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam di Kampung Kolam Air dekat sini hari ini.

Beliau berkata, pihak MDSR, MPK dan MPBP juga digesa membuat pemantauan terhadap perusahaan dan industri yang terletak berhampiran sungai yang menjadi rangkaian kepada Sungai Benut bagi mengawal serta mengelakkan pencemaran berlaku.

“Semua perusahaan dan industri yang dikenal pasti menjadi punca pencemaran sama ada udara atau air di negeri ini akan dikenakan tindakan sewajarnya tanpa sebarang kompromi berlandaskan undang-undang sedia ada.

“Satu siasatan secara menyeluruh juga akan dijalankan bagi membolehkan tindakan sewajarnya dilakukan untuk menangani masalah pencemaran seperti ini apatah lagi Sungai Benut sebagai bekalan air bersih di sini,” katanya.

Berita Harian X