X
Selasa, 26 March 2019 | 1:09pm
Aktiviti mengebom ikan bukan saja merosakkan ekosistem laut tetapi juga turut membahayakan nyawa. - NSTP/Mohd Adam Arinin
Aktiviti mengebom ikan bukan saja merosakkan ekosistem laut tetapi juga turut membahayakan nyawa. - NSTP/Mohd Adam Arinin

Sabah sekat bekalan, belian bahan buat bom ikan

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah melalui Jabatan Perikanan negeri akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menyekat pembekalan dan pembelian bahan membuat bom ikan.

Menterinya, Datuk Junz Wong, berkata pihaknya memandang serius aktiviti bom ikan yang berlaku di negeri ini.

“Kita akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menyekat pembekalan dan pembelian bahan yang digunakan untuk membuat bom ikan seperti baja ammonia dan sebagainya.

“Ini kerana aktiviti mengebom ikan bukan saja merosakkan ekosistem laut tetapi juga turut membahayakan nyawa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, usaha pasukan polis membanteras aktiviti pengeboman ikan harus dipuji termasuk menahan seorang lelaki yang didapati memiliki 670 kilogram (kg) ikan disyaki daripada kaedah pengeboman di Kudat baru-baru ini.

“Menangkap ikan menggunakan bahan letupan boleh dihukum mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Sebelum ini, lapan ahli sindiket penyeludupan bahan membuat bom ikan dikenakan perintah tahanan di Pusat Pemulihan Khas, Bintulu, Sarawak, selama satu tahun bermula 20 Mac lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass dilaporkan berkata, perintah tahanan itu dibuat mengikut Seksyen 19A(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Ahli sindiket itu ditangkap menerusi operasi berasingan di Kota Kinabalu dan Kota Belud oleh cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah kerana menyeludup detonator dan fius bagi membuat bahan letupan bom ikan.

Dalam pada itu, Jumaat lalu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut akibat bom ikan sehingga menyebabkan sebahagian anggota badannya hancur dalam kejadian di perairan Pulau Gaya.

Berita Harian X