Sabtu, 23 March 2019 | 12:20am
KETUA Menteri Melaka Adly Zahari (tiga dari kanan) merasmikan Projek Rumah Belia Melaka di Bukit Tambun di Durian Tunggal, hari ini. - Foto BERNAMA
KETUA Menteri Melaka Adly Zahari (tiga dari kanan) merasmikan Projek Rumah Belia Melaka di Bukit Tambun di Durian Tunggal, hari ini. - Foto BERNAMA

Melaka perintis projek perumahan untuk belia - Adly Zahari

ALOR GAJAH: Melaka menjadi perintis kepada program perumahan untuk golongan belia di bawah kategori isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang berusia antara 18 hingga 35 tahun.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata menerusi projek Rumah Belia Melaka (RBM), golongan berkenaan kini mampu memiliki rumah kediaman kekal yang murah dan selesa di samping memenuhi cita rasa serta kehendak generasi muda, terutama bagi mereka yang baharu mendirikan rumah tangga.

Beliau berkata, sebagai permulaan, kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bersetuju untuk membina sebanyak 280 unit RBM di Bukit Tambun, Durian Tunggal, di sini, sebelum diperluaskan di kawasan lain tidak lama lagi.

“Pada harga RM180,000 seunit, pembeli turut disediakan beberapa lagi keistimewaan antaranya pengecualian bayaran wang pendahuluan sebanyak 10 peratus bernilai RM18,000, bayaran yuran guaman jual beli dan pinjaman bank serta bayaran kos pindah milik yang dianggarkan sebanyak RM7,000.

“Jumlah penjimatan yang akan dinikmati oleh pembeli dalam kalangan belia adalah sebanyak RM25,000. Justeru, saya berharap golongan belia segera mengambil peluang ini untuk memiliki rumah berkualiti pada harga mampu milik,” katanya selepas merasmikan RBM, Bukit Tambun, Durian Tunggal, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Kiong; EXCO Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee dan Pengarah Urusan Scientex Heights Sdn Bhd, Lim Peng Jin.

RBM adalah satu daripada komponen yang terkandung dalam projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang dibangunkan syarikat Scientex Height dalam kawasan seluas 22.5 hektar itu.

Daripada 2,515 unit rumah kos sederhana yang bakal dibangunkan di kawasan itu, sebanyak 173 unit adalah rumah kos sederhana atau dikenali sebagai Rumah Harapan jenis teres dua tingkat bersaiz 16 x 55, diikuti 280 unit RBM jenis teres dua tingkat bersaiz 16 x 60, 462 unit RMM jenis teres dua tingkat bersaiz 16 x 60, 1,576 unit rumah teres dua tingkat bersaiz 18 x 65 dan sebanyak 24 unit rumah kedai dua tingkat bersaiz 20 x 70.

Mengulas lanjut, Adly berkata, projek RBM yang khusus disasarkan kepada golongan belia adalah antara usaha, komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri untuk memenuhi keperluan perumahan penduduk melalui konsep perkongsian pintar antara kerajaan negeri dengan pemaju swasta yang membangunkan projek perumahan mampu milik di negeri ini.

Sementara itu, Chee Kiong berkata, kementeriannya menyambut baik langkah kerajaan Melaka melaksanakan skim perumahan khusus untuk golongan belia yang masih belum memiliki kediaman sendiri.

Katanya, konsep seperti itu mungkin boleh diperluaskan ke negeri lain, apatah lagi harga yang ditawarkan adalah sangat berpatutan serta tidak membebankan golongan berkenaan.

“Kementerian Belia dan Sukan akan menyokong mana-mana negeri yang mahu melaksanakan projek rumah belia seperti itu dan sudah pasti ia bakal menyaksikan belia di bawah B40 ini akan memiliki kediaman yang murah dan selesa, sekali gus mengubah kehidupan mereka,” katanya.

Berita Harian X