Jumaat, 22 March 2019 | 10:34am
Anggota Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran belukar di Miri, kelmarin. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat
Anggota Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran belukar di Miri, kelmarin. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat

Cuaca panas melampau punca kebakaran hutan

KUCHING: Cuaca panas melampau yang melanda wilayah tengah dan utara Sarawak sejak lebih dua minggu dikenal pasti antara punca kebakaran hutan di kawasan berkenaan.

Lebih memburukkan keadaan apabila aktiviti pembakaran terbuka turut dikesan berlaku secara berleluasa khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar untuk tujuan pertanian.

Sehingga semalam, lapan kes kebakaran hutan direkodkan di seluruh negeri, sekali gus menjadikan keseluruhan 184 kes seumpamanya dilaporkan sejak 1 Mac lalu, dengan keseluruhan membabitkan kawasan seluas 137.3 hektar.

Pemangku Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Justine Jok Jau, berkata berikutan cuaca panas melampau yang sedang berlaku, pihaknya kini memantau rapi titik panas dan Indeks Cuaca Kebakaran (FWI) serta Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sarawak.

Beliau berkata, NREB juga membekukan pengeluaran permit pembakaran terbuka (OBP) khususnya untuk sektor perladangan sehingga cuaca panas berakhir

Sementara itu, berdasarkan laporan terkini bacaan IPU di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini mendapati kualiti udara di Sarawak masih berada di tahap sederhana.

Sehingga jam 9 pagi, Kuching mencatat IPU 53, Samarahan (57), Sri Aman (56), Sarikei (52), Sibu (58), Mukah (58), Bintulu (58), Kapit (54), Miri (57) dan Limbang (53).

Berita Harian X