Rabu, 20 March 2019 | 11:43am

Henti pembakaran terbuka elak jerebu - Bomba Sarawak

KUCHING: Cuaca panas di Sarawak sejak lebih seminggu lalu dikhuatiri mencetuskan fenomena jerebu di negeri ini.

Walaupun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di 10 stesen di Sarawak hari ini berada pada tahap sederhana iaitu antara 51 hingga 59.

Bagaimanapun, keadaan itu dikhuatiri berubah jika kegiatan pembakaran terbuka terutamanya untuk tujuan pertanian dan perladangan tidak dicegah dari awal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, kebakaran tanah gambut menjadi cabaran utama pihaknya dan orang ramai harus bersama menghalangnya daripada berlaku.

Beliau berkata, sehingga jam 5 petang semalam, sebanyak lapan kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan iaitu tiga di Marudi dan masing-masing satu di Mukah, Tanjung Manis, Limbang, Lawas dan Lopeng.

Lapan kejadian yang berlaku semalam itu menjadikan keseluruhan sebanyak 147 kebakaran hutan dan belukar dilaporkan di Sarawak sejak 1 Mac membabitkan keseluruhan kawasan 106.5 hektar.

“Masalah jerebu dapat dibendung jika semua pihak bersama mengelak melakukan pembakaran terbuka terutamanya ketika musim panas ini.

“JBPM bersedia menghadapinya namun seboleh-bolehnya, janganlah melakukan pembakaran terbuka,” katanya.

Khirudin berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) juga sentiasa memantau keadaan ketika musim panas ini.

“Dua agensi terbabit mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pesalah alam sekitar yang melakukan terbuka,” katanya.

Berita Harian X