Ahad, 17 March 2019 | 9:17am
INDEKS Pencemaran Udara (IPU) di sekitar Kota Kinabalu mencatat bacaan tidak sihat iaitu 141 dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka di beberapa kawasan. - Foto Malai Rosmah Tuah.

Pembakaran terbuka: JAS kompaun serta-merta

KOTA KINABALU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah mengeluarkan 42 amaran bertulis, tiga notis arahan dan sembilan kompaun, selain membuka tiga kertas siasatan berkaitan kes pembakaran terbuka.

Tindakan itu dilaksanakan JAS selepas menggerakkan pasukan rondaan bagi menguatkuasakan larangan pembakaran terbuka sejak pertengahan Januari lalu berikutan cuaca panas di negeri ini.

JAS Sabah dalam satu kenyataan di sini, malam tadi, berkata pasukan itu diarah menjalankan rondaan pada hujung minggu dan selepas waktu pejabat di kawasan dikenal pasti berlaku banyak pembakaran terbuka.

“Kompaun serta-merta dikenakan terhadap sesiapa yang melakukan pembakaran terbuka. Sebarang rayuan tidak akan dipertimbangkan bagi semua kompaun dikeluarkan dalam tempoh ini.

“Pihak JAS juga sedang mengenal pasti tuan punya kawasan tanah yang terbakar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Bermula malam kelmarin, dua stesen pemantauan kualiti udara JAS, iaitu stesen Kota Kinabalu dan Kimanis mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, iaitu melebihi 100.

Menurut kenyataan itu, ia berpunca daripada kebakaran di kawasan belukar berikutan cuaca panas dan kering yang melanda di kebanyakan kawasan di negeri ini.

Antara kawasan terbakar ialah Bukit Indah Permai seluas dua hektar, Bukit Sepanggar (empat hektar), Kampung Kauluan di Tuaran (enam hektar), belakang Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu dan belakang Taman Putera Perdana, masing-masing seluas enam hektar.

Bagi stesen Kimanis, kebakaran belukar di beberapa kawasan di sepanjang jalan dari Bongawan-Kimanis-Papar sejak semalam menyebabkan peningkatan IPU di kawasan berkenaan.

“Walaupun api di kebanyakan kawasan terbabit sudah padam, kawasan masih berasap,” katanya.

Katanya, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, keadaan kini berada pada peringkat amaran awal di mana semua jenis pembakaran terbuka dilarang sama sekali.

“Orang ramai dinasihat mengurangkan aktiviti luar rumah, menghentikan aktiviti luar bilik darjah bagi murid, dan disarankan semua aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan ditangguhkan,” katanya.

Berita Harian X