Sabtu, 16 March 2019 | 5:25pm
Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak (dua kiri) meninjau gerai buah-buahan di Hentian Rehat dan Rawat Bukit Gantang arah utara selepas merasmikan program My Best Buy dan Penyerahan Sijil Peraturan Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan. Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak (dua kiri) meninjau gerai buah-buahan di Hentian Rehat dan Rawat Bukit Gantang arah utara selepas merasmikan program My Best Buy dan Penyerahan Sijil Peraturan Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan. Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Pencemaran Pasir Gudang: FAMA sedia hantar bekalan pertanian

TAIPING: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia untuk membekalkan hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan ke Pasir Gudang, Johor, sekiranya kawasan pertanian di situ disahkan tercemar dengan bahan kimia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada permintaan dan sehingga kini FAMA masih belum menerima arahan untuk membekalkan hasil pertanian ke kawasan itu.

Beliau berkata FAMA mempunyai bekalan yang mencukupi untuk menyalurkannya dan bersedia pada bila-bila masa jika ada permintaan atau arahan untuk menghantar hasil pertanian itu.

“Sehingga kini belum ada lagi sebarang maklumat serta arahan diterima namun sekiranya disahkan sayur-sayuran dan buah-buahan di Pasir Gudang sudah dicemari bahan kimia, FAMA akan mengaturkan dengan pembekal seluruh negara dan bersedia membekalkan produk pertanian segar ke sana.

“Peniaga (di Pasir Gudang) juga dinasihatkan supaya menghentikan jualan produk pertanian sedia ada dan segera mendapatkan bekalan baharu dan segar demi keselamatan pembeli dan pengguna,” katanya.

Ahmad berkata demikian kepada media selepas merasmikan program ‘My Best Buy’ dan Penyerahan Sijil Peraturan Label Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang arah utara di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengesahkan tidak menerima sebarang laporan pencemaran ke atas produk pertanian dan penternakan di sekitar kawasan Sungai Kim Kim yang tercemar dengan sisa toksik.

Bagaimanapun, MOA dijangka melakukan ujian makmal terhadap produk pertanian dan hasil laut bagi memastikan produk yang tercemar tidak berada di pasaran.

Sementara itu, Ahmad berkata, FAMA akan menguatkuasakan GPL dalam usaha melindungi industri pertanian terutama dari aspek pemasaran bagi melindungi petani dan pengguna.

“Setakat ini FAMA sudah menyenaraikan 78 barangan yang digredkan dan beberapa lagi barangan termasuk sayuran-sayuran dan bunga yang akan digredkan tidak lama lagi,” katanya.

Berita Harian X