Jumaat, 15 March 2019 | 6:26pm
PENGARAH Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman. - NSTP/Zulkepli Osman
PENGARAH Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman. - NSTP/Zulkepli Osman

Seronok sangat sampai didenda

KUANTAN: Keseronokan seorang lelaki memuat naik gambar pelbagai jenis ikan yang ditangkap di Sungai Jelai, Lipis ke akaun Facebook miliknya minggu lalu, mengundang padah apabila dikenakan tindakan undang-undang.

Siasatan dilakukan Pegawai Penguatkuasa Jabatan Perikanan Pahang mendapati lelaki tempatan berusia 36 tahun itu menggunakan senapang ikan buatan sendiri yang dilarang penggunaannya di negara ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman berkata, kesalahan menggunakan senapang ikan boleh menyebabkan pelaku dikompaun RM500 hingga RM5,000 mengikut Peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang.

Beliau berkata, pihaknya melakukan siasatan bagi mengesan lelaki berkenaan selepas melihat gambarnya bersama hasil tangkapan dalam media sosial minggu lalu.

Azahari berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit menggunakan senapang ikan buatan sendiri di Sungai Jelai kerana sungai cetek kini memudahkan aktiviti memburu ikan terutama di kawasan lubuk.

“Musim kemarau kini menyebabkan banyak sungai menjadi cetek dan digunakan penduduk kampung untuk menangkap ikan menggunakan pelbagai kaedah termasuk senapang ikan, tuba, bahan letupan dan arus elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut, hari ini.

Yang turut hadir, pengurus pusat berkenaan, Mohd Nasir Muhamad.

Azahari berkata, pihaknya turut turut mengenakan kompaun kepada seorang lelaki berusia 36 tahun yang melakukan aktiviti menangkap ikan lalang di Empangan Klau, Raub tanpa lesen.

Katanya, anggota penguat kuasa yang melakukan pemantauan di kawasan empangan berkenaan terserempak dengan lelaki menangkap ikan menggunakan jala.

“Pemeriksaan mendapati dia tidak mempunyai lesen melakukan aktiviti terbabit.

“Selain dikenakan kompaun antara RM500 hingga RM5,000, peralatan seperti bot gentian kaca, jala dan hasil tangkapan turut dirampas.

“Kita sentiasa memantau media sosial seperti Facebook, Instagram dan aplikasi WhatsApp secara berterusan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan pelbagai kesalahan mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

Berita Harian X