Isnin, 11 March 2019 | 2:28pm
Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Telok Melano yang kini boleh digunakan orang ramai dari Kuching. - Foto Ekhwan Haque Fazlul Haque

Rakyat negara jiran turut nikmati Lebuhraya Pan Borneo

SEMATAN: Kewujudan Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Pekan Sematan dan Telok Melano, di sini bukan sahaja dinikmati penduduk di penempatan terakhir di sebelah barat daya Sarawak, tetapi turut memberi faedah kepada penduduk negara jiran, Indonesia yang tinggal berhampiran kawasan sempadan.

Sejak laluan itu, satu-satu jajaran Lebuhraya Pan Borneo yang baharu dibina siap sepenuhnya Januari lalu, penduduk negara jiran itu turut meraih keuntungan dengan menyediakan kemudahan pengangkutan motosikal atau ‘ojek’ untuk membawa pelancong mengunjungi Temajuk dalam wilayah Kalimantan Barat.

Ini kerana di Temajuk, khususnya di Camar Bulan, dikatakan kini sudah ada beberapa produk pelancongan yang menarik antaranya rumah terbalik.


Gerai makan di tepi bulatan Telok Melano menjadi tempat pengendali 'ojek' menunggu pelanggan yang ingin ke Temajuk, Kalimantan Barat. - Foto Mohd Roji Kawi

Malah, difahamkan pengusaha penginapan di wilayah itu sudah awal-awal lagi bersedia sejak Jajaran Sematan - Telok Melano mula dibina pada 2016, apabila beberapa chalet didirikan sebagai persiapan untuk menanti kunjungan pelancong, khususnya dari Malaysia.

Jadi tumpuan ramai

Seorang penduduk Temajuk yang hanya mahu dikenali sebagai Rahmat berkata, mereka sudah menjangka, Telok Melano akan menjadi tumpuan ramai kerana sebelum ini, penempatan nelayan itu tidak diakses kemudahan jalan raya dari Sematan.


Pengunjung bergambar kenangan di papan tanda di Telok Melano, Sematan. - Foto Ekhwan Haque Fazlul Haque

Beliau berkata, jangkaan mereka tepat kerana sejak jalan raya itu dibuka kepada orang ramai, perubahan ketara berlaku di Telok Melano, apabila ramai pengunjung dari luar khususnya dari Kuching datang ke kawasan pantai itu untuk beriadah terutama pada hujung minggu atau cuti umum.

“Apabila ramai pengunjung ke Telok Melano, apa salahnya jika terus berkunjung ke tempat kami. Ada kemudahan motosikal untuk membawa anda ke sana dengan bayaran RM35 sehala.

Khidmat pengusaha ‘ojek’

“Jalan ke sana memang masih belum sempurna, maklumlah jalan tikus. Kita terpaksa melalui jalan tanah merah untuk perjalanan kira-kira 30 minit dari Telok Melano sebelum sampai ke Temajuk,” katanya.

Rahmat berkata, ketika ini ramai pengusaha ‘ojek’ dari Temajuk bersedia memberikan perkhidmatan dengan menunggu pelanggan di satu kawasan di tepi jalan berdekatan Telok Melano, dalam kawasan Malaysia.


Laluan tikus menghubungkan Telok Melano dengan Temajuk, Kalimantan Barat. - Foto Mohd Roji Kawi

Mereka boleh dilihat berkumpul di sebuah kedai makan yang dijadikan sebagai tempat menunggu manakala motosikal yang dijadikan ‘ojek’ diletakkan di dalam kawasan kebun getah berdekatan.

Katanya, jika rakyat Malaysia mahu ke Temajuk, mereka harus melalui pemeriksaan TNI-AD dan meninggalkan kad pengenalan di pondok anggota bertugas.

Kehadiran pengunjung termasuk ada antaranya dari Sabah, Brunei, malah Semenanjung untuk beriadah di Telok Melano kini membawa limpahan rezeki kepada penduduk di kampung berkenaan.

Deretan gerai menjual makanan dan minuman tumbuh bagai cendawan selepas hujan sejak jalan raya berkenaan dibuka secara rasmi oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, hujung bulan lalu.

Namun, di sebalik keghairahan penduduk tempatan meraih rezeki yang terbuka luas itu, timbul kebimbangan segelintir mereka jika peluang itu diraih penduduk negara jiran, satu hari nanti. Malah, ketika ini pun sudah ada penduduk dari wilayah bersebelahan itu mencari peluang berniaga di Telok Melano.

Seorang penduduk tempatan berkata, semua pihak harus melihat apa yang berlaku di Serikin, lokasi yang menjadi tumpuan ramai di sempadan Malaysia - Indonesia di Bau sebagai pengajaran.

Serikin dikenali ramai hingga pengunjung dari Semenanjung menjadikannya lokasi wajib dikunjungi apabila bercuti di Bumi Kenyalang.

Menyedari bahaya yang bakal muncul, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata satu peraturan baru akan dikuatkuasakan di Telok Melano bagi memastikan kawasan itu selamat untuk pengunjung serta penduduk kampung.

Beliau berkata, setakat ini kawasan pantai yang terletak bersebelahan dengan wilayah Kalimantan Barat, Indonesia itu belum lagi mempunyai perundangan yang khusus berkaitan perkara itu.

“Dengan adanya peraturan baharu itu nanti, mereka yang ingin berniaga di kawasan itu perlu mendapatkan lesen daripada Majlis Daerah Lundu (MDL),” katanya.

Sehubungan itu katanya, satu mesyuarat akan diadakan bersama semua agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membincangkan peraturan baharu, keselamatan dan kebersihan kawasan Telok Melano.

Berita Harian X