Ahad, 3 March 2019 | 3:33pm
PENGARAH Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ir.Amarjit Singh. - Foto Fardy Bungga.
PENGARAH Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ir.Amarjit Singh. - Foto Fardy Bungga.

JANS nafi Empangan Babagon kering

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menafikan maklumat berserta gambar yang tersebar di media sosial kononnya Empangan Babagon di Penampang kini kering berikutan musim kemarau.

Pengarah JANS, Ir Amarjit Singh, berkata perkara itu tidak benar kerana empangan terbabit yang menyimpan 16.08 juta meter padu air, mampu bertahan sehingga 92 hari.

“(Empangan) Babagon mempunyai dua anak sungai utama dan banyak anak sungai kecil (yang menyalurkan air),” katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Amarjit meminta orang ramai agar berhati-hati menyebarkan maklumat agar tidak menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat.

Beliau mengulas penyebaran sekeping gambar di aplikasi WhatsApp, kononnya keadaan terkini Empangan Babagon yang hampir kering akibat cuaca panas berpanjangan sejak beberapa minggu lalu.

Baru-baru ini, beliau memberi jaminan orang ramai tidak perlu risau dengan musim kemarau berikutan cuaca monsun timur laut yang menjejaskan bekalan air di Sabah sejak awal tahun ini.

Beliau dilaporkan berkata, walaupun bekalan air ketika ini mampu bertahan sehingga dua bulan, beberapa pelan tindakan sudah dirancang termasuk melakukan pembenihan awan sekiranya perlu.

Semalam, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azemi Daud, berkata 23 lokasi di Sabah merekodkan hari tanpa hujan melebihi tujuh hari berturut-turut dengan Stesen Meteorologi Lapangan Terbang Sandakan mencatat jumlah hari tanpa hujan tertinggi di seluruh negara, iaitu 23 hari berturut-turut sehingga kelmarin.

Ia dikuti pekan Tungku, Lahad Datu sebanyak 22 hari, Pertanian Ulu Dusun, Sandakan (19 hari); Tumunong Hallu, Lahad Datu (18 hari); Stesen Meteorologi Lahad Datu (17 hari) dan Kota Kinabatangan, Kinabatangan (17 hari).

Jabatan Meteorologi turut meramalkan cuaca panas dan kering yang melanda Sabah ketika ini berterusan sehingga akhir April depan.

Berita Harian X