Khamis, 28 Februari 2019 | 4:08pm
ANGGOTA bomba memadamkan api di lokasi pembakaran terbuka di sekitar Kota Kinabalu. - Foto ihsna bomba
ANGGOTA bomba memadamkan api di lokasi pembakaran terbuka di sekitar Kota Kinabalu. - Foto ihsna bomba

Kes pembakaran terbuka di Sabah meningkat

KOTA KINABALU: Orang ramai diingatkan tidak membuat pembakaran terbuka kerana berisiko mengakibatkan berlaku kebakaran besar membabitkan hutan dan kebun, terutama pada musim panas berpanjangan di Sabah ketika ini.

Ia berikutan perangkaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menunjukkan sebanyak 684 kes pembakaran terbuka direkodkan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah, berkata berdasarkan statistik, sebanyak 190 kes berlaku pada Januari, manakala Februari pula mencatat peningkatan dengan 494 kes setakat Selasa lalu.

Beliau berkata, pembakaran membabitkan belukar mencatat jumlah tertinggi dengan 440 kes, diikuti hutan (179), sampah (31), kebun kecil (24), sawah (tujuh) dan ladang (tiga).

“Kebanyakan kebakaran berpunca daripada pembakaran kebun atau sampah sarap yang tidak dikawal dan merebak.

“Justeru pembakaran terbuka, khususnya di kawasan hutan, kebun dan sampah sarap, perlu dielakkan, terutama pada musim panas kini,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Berdasarkan perangkaan pada Januari lalu, kes pembakaran terbuka tertinggi berlaku di Tuaran membabitkan 39 kes diikuti masing-masing 24 kes di Kota Kinabalu, Kota Belud dan Keningau.

Pada bulan lalu, Tuaran masih mencatat kadar tertinggi, iaitu 75 kes, diikuti Keningau (55), Kota Belud (45), Kimanis (39), Kota Kinabalu (38) dan Papar (36).

Berita Harian X