Selasa, 26 Februari 2019 | 8:26pm
Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ir. Amarjit Singh. - Foto Fardy Bungga
Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ir. Amarjit Singh. - Foto Fardy Bungga

Kadar pengeluaran air di empangan menurun akibat kemarau

KOTA KINABALU: Enam empangan di negeri ini masih beroperasi seperti biasa tetapi mengalami penurunan kadar pengeluaran air akibat kemarau yang sedang melanda.

Pengarah Jabatan Air Sabah (JANS), Ir Amarjit Singh, berkata ia berikutan paras air lapan sungai yang menyalurkan bekalan ke beberapa empangan sudah berada pada tahap kritikal.

Beliau berkata, kawasan paling terjejas ketika ini ialah daerah Papar susulan operasi satu daripada tiga loji air di kawasan itu terpaksa dihentikan sejak 1 Februari lalu kerana campuran air laut yang banyak.

Selain itu, katanya, Loji Kogopon di Papar ketika ini hanya mampu mengeluarkan 28 juta liter sehari (JLD) berbanding tahap normal pada 35 JLD.

“Bagi mengatasi masalah itu, JANS sudah memasang tambatan air di sungai terbabit bagi meningkatkan paras air,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berjimat cermat menggunakan air dan melaporkan jika berlaku kebocoran atau paip pecah untuk tindakan pembaikan segera.

Bagaimanapun, Amarjit berkata, bekalan air sedia ada mampu bertahan hingga dua bulan, manakala beberapa pelan tindakan sudah dirancang, termasuk melakukan pembenihan awan sekiranya perlu.

Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan cuaca panas ketika ini dijangka berakhir pada April depan.

Berita Harian X