Khamis, 21 Februari 2019 | 1:19pm
PROJEK tambak laut dilaksana kerajaan Pulau Pinang di Persiaran Gurney, Georgetown. - NSTP/Ramdzan Masiam
PROJEK tambak laut dilaksana kerajaan Pulau Pinang di Persiaran Gurney, Georgetown. - NSTP/Ramdzan Masiam

Nelayan, NGO bantah tambak laut kena fahami tujuan PIP

GEORGETOWN: Kerajaan negeri meminta nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah cadangan tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP) supaya memahami tujuan dan kaedah projek itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata PIP yang memerlukan pembiayaan dianggarkan RM49 bilion, dirangka bagi menyuraikan kesesakan trafik khususnya di bandar raya ini.

Selain PSR, dua lagi pilihan yang ada bagi membiayai pelaksanaan pelan berkenaan iaitu meminjam daripada Export-Import Bank of China (Exim Bank of China) atau dibiayai Kerajaan Persekutuan.

“Kita sudah memohon (untuk melaksanakan projek di bawah PIP) tetapi tak semestinya diluluskan dan kita akan akur dengan setiap keputusannya. Kita akan fikirkan kaedah lain (untuk menangani kesesakan trafik) jika ia tak diluluskan.

“Bagaimanapun, projek ini (PIP) perlu dilaksanakan jika ia diluluskan, dan kita tetap mengambil kira pandangan NGO dan nelayan yang sudah pun dirangkumkan dalam pelbagai laporan berkaitan projek ini.

“Kita harap mereka (NGO dan nelayan) faham, selain masih boleh mengemukakan cadangan penambahbaikan sepanjang pelaksanaan projek ini. Kita harap PIP ini menjadi projek rakyat,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga sudah mempertimbangkan jenis pampasan setimpal kepada nelayan sepanjang pelaksanaan PIP.

“Bagaimanapun, ia belum boleh didedahkan, selain pihak perunding projek juga memberi alternatif kepada nelayan bagi menjamin punca pendapatan mereka sepanjang kerja tambakan laut dijalankan.

“Kita menawarkan kerja bersesuaian yang boleh dilakukan nelayan ketika projek berjalan, di samping pampasan yang akan dimuktamadkan kemudian.

“SRS Konsortium selaku Rakan Pelaksana Projek (PDP) juga sudah tubuhkan dua pusat informasi khusus untuk nelayan melakukan pendaftaran bagi kerja alternatif sepanjang PSR dijalankan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan PSR seluas 2,600 hektar bagi membentuk tiga pulau buatan yang akan digunakan untuk membiayai pelbagai projek dirangka menerusi PIP, termasuk terowong dasar laut dan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT).

Berikutan itu, pelbagai pihak terutama NGO alam sekitar dan nelayan di perairan selatan Pulau Pinang membantah kerana khuatir akan menjejaskan mata pencarian mereka.

Mei tahun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan bersedia memberi peruntukan bagi membiayai kos PIP.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei 2016, kerajaan negeri memutuskan menangguh cadangan tambakan laut itu hingga laporan Kajian Terperinci Impak Alam Sekitar (DEIA) diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri masih menunggu maklum balas Kerajaan Persekutuan berhubung kesediaan membiayai PIP dengan surat permohonan sudah dikemukakan.

Katanya, pihaknya juga masih menunggu kelulusan pihak berkaitan, selain projek ini dijangka dibentangkan untuk keputusan di Majlis Perancang Fizikal Negara, pada April ini.

“Mungkin selepas itu (mendapat keputusan), barulah kita boleh lihat hala tuju dan prospek pelabur yang berminat membiayai projek ini dengan lebih jelas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketiga-tiga komponen utama dalam PIP, iaitu PSR, LRT dan Pan Island Link (PIL) kini pada peringkat hampir mendapat kelulusan dengan perkembangan semua projek berkenaan dikatakan pada tahap hampir sama.

“Kita jangka dalam satu hingga dua bulan lagi boleh dapat (kelulusan daripada pihak berkaitan). Bagaimanapun, ia (ketiga-tiga projek utama dalam PIP) tak berjalan serentak.

“Ia bergantung kepada mekanisme pembiayaan projek. Jika tanah ditambak (PSR), ia memerlukan masa menjana hasil, selain perlu menitikberatkan faktor pembayaran berjadual kepada kontraktor.

“Pelaksanaan tiga projek ini (PSR, LRT, PIL) dijangka boleh dimulakan menjelang awal tahun depan atau mungkin lebih lewat dari tempoh itu dan ia bergantung tempoh kelulusan diberi,” katanya.

Berita Harian X