Selasa, 19 Februari 2019 | 9:06pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (dua kanan) bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan ang pau kepada kanak-kanak yang hadir pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak di Lost World Of Tambun, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (dua kanan) bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan ang pau kepada kanak-kanak yang hadir pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak di Lost World Of Tambun, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Sultan Nazrin berangkat ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2019 di Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2019 Peringkat Negeri Perak di taman tema Lost World of Tambun (LWOT) di sini hari ini.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berangkat ke majlis yang dihadiri kira-kira 40,000 pengunjung itu.

Turut berangkat ke majlis itu, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Asyikin Mohd Radzi; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri merangkap pengerusi program, Howard Lee dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman.

Sempena sambutan itu pengunjung berpeluang memasuki taman tema secara percuma bermula pada jam 2 petang sehingga 6 petang.

Sementara itu, Howard ketika berucap pada program itu berkata, penganjuran program itu yang penuh dengan kemeriahan jelas membuktikan kekuatan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di Perak.

“Semoga tahun baharu ini akan membawa tuah, kejayaan, pencapaian yang baik dan kegembiraan kepada kita semua terutamanya bagi Kerajaan Perak dalam menghadapi cabaran bakal mendatang.

“Kunci kemajmukan ini pastinya atas semangat toleransi yang jitu antara kaum di negara ini antara masyarakat Melayu, Cina dan India serta Orang Asli yang berterusan hidup dalam keharmonian dan saling bekerjasama membangunkan negeri yang kita cintai bersama,” katanya.

Sambutan program berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan.

Berita Harian X