Rabu, 13 Februari 2019 | 4:03pm
ADLY (dua dari kiri) mewakili Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bertukar perjanjian dengan Kai Loon (dua dari kanan) di Bilik Bijasura, Seri Negeri. - Foto Khairunisah Lokman
ADLY (dua dari kiri) mewakili Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bertukar perjanjian dengan Kai Loon (dua dari kanan) di Bilik Bijasura, Seri Negeri. - Foto Khairunisah Lokman

Melaka luluskan pembinaan 23 rumah mampu milik

AYER KEROH: Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM), hari ini meluluskan projek Rumah Mampu Milik (RMM) Taman Cheng Perdana dengan nilai pembangunan sebanyak RM4.22 juta.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, projek terbaharu yang dibangunkan syarikat Delta Diversified Sdn Bhd itu merangkumi 23 unit rumah teres setingkat di kawasan tanah seluas 0.327 hektar di Mukim Cheng, di sini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 19 unit daripadanya rumah teres jenis biasa berharga RM180,000, manakala selebihnya rumah teres lot tepi berharga RM200,000.

“Projek ini akan dimulakan enam bulan dari sekarang dan siap dalam tempoh dua tahun.

“Bagi pembeli Bumiputera, mereka layak menerima diskaun sebanyak lima peratus,” katanya menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Projek RMM Taman Cheng Perdana, di Seri Negeri, di sini.

MoU itu membabitkan LPM yang diwakili Pengarah Eksekutifnya, Saleh Mohd Dom dengan Delta Diversified diwakili Pengarah Urusannya, Tee Kai Loon.

Adly berkata, kerajaan negeri sedang membuat kajian terhadap projek pembangunan di negeri ini yang terbengkalai melebihi dua tahun.

“Kita akan lihat semula projek terbabit dan mengambil langkah untuk mengatasinya, termasuk berjumpa dengan pemaju bagi mengenal pasti permasalahan dihadapi mereka.

“Ada beberapa projek yang sudah diluluskan sejak 1994 lagi namun tergendala sehingga kini,” katanya.

Berita Harian X