Isnin, 11 Februari 2019 | 5:53pm
Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan pingat khas kepada Persatuan Tarian Singa dan Naga Kun Seng Keng dari Muar sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Sultan Johor pada 23 Mac ini. - Ihsan Royal Press Office

Sultan Johor berkenan kurnia pingat khas kepada persatuan tarian singa, naga

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan mengurniakan pingat khas kepada Persatuan Tarian Singa dan Naga Kun Seng Keng dari Muar yang berjaya mengekalkan status juara bertahan serta juara dunia sebanyak 12 kali.

Menerusi kenyataan dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Sultan Johor, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, bertitah Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan pingat khas itu ketika sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Sultan Johor pada 23 Mac ini.

Titah Raja Zarith, pengurniaan pingat khas oleh Sultan Ibrahim itu juga adalah di atas semangat berpasukan yang ditunjukkan serta pelbagai usaha kreatif yang dilakukan hingga membolehkan pasukan itu digelar juara dunia sejak tahun 1994.

“Tuanku Sultan turut menzahirkan ucapan tahniah di atas kejayaan yang dicapai oleh pasukan berkenaan hingga menjulang nama Johor di peringkat antarabangsa,” titah Raja Zarith di sini.

Pasukan itu ditubuhkan pada 1988 di daerah Muar oleh Tan Chong Hing, yang merupakan seorang ahli perniagaan dan aktivis kemasyarakatan.

Kejayaan berturut-turut dicapai pasukan itu bukan sahaja membanggakan Johor, malah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Berita Harian X