Isnin, 11 Februari 2019 | 12:50pm
Osman (kiri) bersama ahli jawatan kuasa Festival Silat Nusantara 2019 pada mesyuarat program di pejabat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pahang. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Festival Silat Nusantara 2019 kembali selepas 15 tahun

KUANTAN: Seramai 1,000 pesilat mewakili 35 pasukan tempatan dan luar negara mengesahkan penyertaan pada Festival Silat Nusantara 2019 yang akan dianjurkan di pusat beli-belah Berjaya Megamall, di sini pada 18 hingga 21 April ini.

Festival anjuran Persatuan Silat Negeri (PESAKA) Pahang dengan kerjasama kerajaan negeri, turut disertai empat negara jemputan, iaitu Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Setiausaha Agung PESAKA Pahang, Datuk Osman Nok, berkata enam pengisian diadakan sepanjang festival berkenaan, membabitkan pertandingan, pameran dan persembahan oleh setiap pasukan.

Yang turut diadakan, katanya, ialah demonstrasi perguruan silat nusantara, pameran mistik alam Melayu dan pertandingan seni tanjak.

Beliau berkata, penganjur juga merancang persembahan gendang silat tanpa henti selama 36 jam dalam usaha mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBR).

“Sebanyak 16 PESAKA negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, empat perguruan jemputan dan 11 PESAKA daerah di Pahang akan bersaing pada festival yang kali terakhir diadakan pada 2004 ini.

“Festival ini memberi peluang kepada masyarakat setempat dan peminat silat melihat lebih dekat keunikan acara tradisional ini termasuk dari negara serantau,” katanya, di sini hari ini.

Osman berkata, rombongan jawatankuasa festival akan ke Batam, Indonesia pada 15 hingga 18 Ferbuari ini bagi menjemput persatuan silat di sana, selain turut mengadakan demontrasi acara silat dan muzik silat Pahang.

“Dijangka seramai 180 peserta negara berkenaan mewakili 12 pasukan akan hadir dan terbabit dalam beberapa acara serta pengisian festival, termasuk demonstrasi unik perguruan menggunakan senjata,” katanya.

Katanya, penganjur juga akan ke Yala, Thailand awal bulan depan untuk bertemu dan menjemput pasukan dari negara berkenaan yang turut popular dalam seni persilatan di rantau ini.

“Kita jangka 50 peserta dari negara itu akan hadir membabitkan lima perguruan. Kita juga menjadikan festival ini sebagai gelanggang pemilihan pesilat untuk mewakili kontinjen Pahang ke Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020,” katanya.

Berita Harian X