Ahad, 10 Februari 2019 | 8:00pm
Presiden MATTA , Datuk Tan Kok Liang. - Arkib NSTP

Wujudkan Biro Konvensyen elak SICC jadi gajah putih

KOTA KINABALU: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) melahirkan kebimbangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) akan menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’ jika tidak diurus dengan baik.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, menegaskan apa yang SICC perlukan adalah satu agensi khas untuk mengendalikan pemasaran dan pembidaan Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).

Mengulas mengenai artikel bertajuk harapan perbankan ke atas MICE, Kok Liang, berkata adalah perlu untuk kerajaan menubuhkan satu agensi yang berdedikasi seperti biro konvensyen secara langsung di bawah kuasa Jabatan Ketua Menteri atau Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk memanfaatkan pasaran MICE.

“Jika tidak, tanpa pengurusan yang teratur, kita bimbang, SICC akan menjadi ‘gajah putih’ jika agensi khas tidak ditubuhkan untuk memulakan pemasaran dan pembidaan untuk pasaran yang menguntungkan.

“Penawaran untuk mendapatkan acar besar perlu dibuat sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lebih awal. Kita ada Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang, Biro Konvensyen Sarawak dan Biro Konvensyen Kuala Lumpur, Putrajaya dan Shah Alam serta Pemasaran dan Komunikasi, Biro Pameran & Konvensyen Malaysia (MyCEB), khusus untuk memanfaatkan pasaran MICE.

“Negeri lain seperti Johor dan Pahang baru-baru ini sudah mengumumkan pelan untuk menubuhkan biro konvensyen mereka sendiri. Saya mencadangkan kerajaan Sabah membuat perkara yang sama,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Kok Liang berkata apabila siap kelak, SICC dijangka menawarkan kemudahan yang bertaraf dunia.

“Tetapi kita berasa bimbang kemudahan ini tidak digunakan sepenuh pada kadar penggunaannya,” katanya.

Beliau berkata MATTA ketika ini adalah ahli Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM) yang bertujuan mempromosikan industri acara perniagaan sebagai satu bahagian penting dalam ekonomi Malaysia.

“Kota Kinabalu adalah lokasi yang strategik yang mempunyai tarikan alam semula jadi sekali gus menjadi destinasi menarik dalam pasaran MICE,” katanya.

Berita Harian X