Khamis, 7 Februari 2019 | 1:03pm
AMAR Awang Tengah Ali Hasan (tengah) menyampaikan surat hakmilik tanah kepada penerima pada majlis di Skim Skrang, Engkilili. - Foto NSTP/Joshua Eric
AMAR Awang Tengah Ali Hasan (tengah) menyampaikan surat hakmilik tanah kepada penerima pada majlis di Skim Skrang, Engkilili. - Foto NSTP/Joshua Eric

Kerajaan negeri tanggung kos sukat tanah NCR

SRI AMAN: Kerajaan negeri terpaksa menanggung kos melaksanakan kerja-kerja menyukat tanah hak adat Bumiputera (NCR) selepas Kerajaan Persekutuan tidak lagi menyalurkan peruntukan untuk tujuan itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, berkata kerja-kerja menyukat tanah NCR itu perlu untuk membolehkan pemilik tanah terbabit menerima hak mereka secara sah.

Beliau berkata, sebelum ini kos untuk melaksanakan kerja menyukat tanah NCR ditanggung Kerajaan Persekutuan namun sejak perubahan pentadbiran berlaku tahun lalu, peruntukan tidak lagi disalurkan ke negeri ini.

“Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menerajui kerajaan negeri kini memperuntukkan sejumlah RM40 juta untuk melaksanakan kerja menyukat tanah NCR dan seterusnya mengiktiraf pemilikan penduduk negeri ini terhadap tanah terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) bagi kawasan Tanjung Rembai, Skrang dan Engkilili di Skim Skrang, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Muda Industri dan Pelaburan Sarawak, Malcolm Mussen Lamoh; Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat dan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa.

Justeru, Awang Tengah berkata, penduduk negeri ini perlu menilai dengan teliti kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terbukti tidak memberi perhatian terhadap usaha untuk mengiktiraf tanah NCR.

“Ketiadaan dana membuktikan komitmen kerajaan PH mengenai usaha terbabit tidak seperti kerajaan terdahulu yang sering menyalurkan peruntukan bagi menyukat tanah NCR milik penduduk negeri ini,” katanya.

Seramai 573 pemilik tanah NCR dari Tanjung Rembai, Skrang dan Engkelili menerima surat hak milik tanah masing-masing pada majlis itu.

Awang Tengah berkata, sehingga Disember tahun lalu, hampir 0.4 juta hektar tanah NCR di negeri ini sudah disukat menerusi usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Berita Harian X