Sabtu, 2 Februari 2019 | 10:18pm
Bilangan penumpang yang menaiki feri Labuan-Menumbok yang menjadi tular di pelbagai platform media sosial.
Bilangan penumpang yang menaiki feri Labuan-Menumbok yang menjadi tular di pelbagai platform media sosial.

Maritim Malaysia sah feri Labuan-Menumbok tidak bawa muatan berlebihan

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Labuan hari ini mengesahkan bilangan penumpang dan kenderaan yang menaiki feri Labuan-Menumbok semalam, yang menjadi tular di pelbagai platform media sosial, adalah di bawah kapasiti muatan feri berkenaan.

Ketua Penguat Kuasanya, Kapten Maritim Che Adnan Md Isa, berkata senarai muatan yang diperiksa di pejabat operasi perkhidmatan feri itu menunjukkan bilangan penumpang yang dicatatkan adalah 290 orang dan 209 kenderaan termasuk motosikal.

Beliau berkata pihaknya sudah menjalankan satu operasi pemeriksaan terhadap semua perkhidmatan feri di pulau itu bagi memastikan antara lain pematuhan standard keselamatan pelayaran dan keperluan bilangan jaket keselamatan penumpang.

Gambar feri berkenaan, yang didakwa membawa muatan berlebihan selepas bertolak dari Labuan jam 6 pagi, tular di media sosial beberapa minit selepas sampai di jeti Menumbok.

Pewarta Bernama di Labuan adalah orang yang pertama menerima gambar itu daripada seorang rakannya sebelum ia menjadi tular dan membangkitkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Labuan.

Ia kemudian topik hangat dalam kumpulan aplikasi WhatsApp terbesar di Labuan, ‘Kongsi2 Info Labuan’ dan gambar itu dikongsi secara meluas ke seluruh negara kerana bimbang sama ada feri berkenaan mengikuti prosedur keselamatan.

Susulan penularan gambar itu, Jabatan Laut Wilayah Persekutuan Labuan dan Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan terhadap semua jenis perkhidmatan pengangkutan laut termasuk bot laju di pulau itu. – BERNAMA

Berita Harian X