Jumaat, 1 Februari 2019 | 5:10pm
Nur Ar Risydah Aireen Adiba Mohd Yazid (tengah) bersama rakan sekelasnya pada Pertandingan Kaligrafi Cina 2019 di Sekolah Tinggi Chung Hua, Seremban. - Foto Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

'Ai Lin' mahir kaligrafi Cina, tarian singa

SEREMBAN: Mula mempelajari Bahasa Cina sejak dimasukkan ke tadika seawal usia empat tahun, membuatkan pelajar Melayu di Sekolah Tinggi Chung Hua di sini, tidak kekok menulis kaligrafi Cina.

Malah, Nur Ar Risydah Aireen Adiba Mohd Yazid, 15, atau lebih dikenali dengan nama ‘Ai Lin’ dalam kalangan rakan sejak tadika, turut menyertai Kelab Tarian Singa di sekolah itu sejak dua tahun lalu serta aktif membuat persembahan.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, semua adik-beradiknya belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina kerana bapanya yang bekerja sendiri dan ibunya seorang suri rumah, mahu mereka mempelajari bahasa itu.

“Jadi sejak kecil saya sudah biasa melihat adik-beradik lain bercakap sesama mereka dalam bahasa Cina. Jadi apabila sudah bersekolah, saya juga berlatih cakap bahasa Cina dengan mereka.

“Bagaimanapun, di rumah, kami sesama adik-beradik berkomunikasi dalam bahasa Melayu bagi menghormati ibu dan ayah,” katanya ketika ditemui selepas Pertandingan Kaligrafi Cina 2019 dan Penyampaian Sumbangan di Sekolah Tinggi Chung Hua di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Nur Ar Risydah yang kini tinggal di Beranang, Selangor berkata, tidak susah untuk menulis kaligrafi Cina jika menggunakan berus yang betul dan mendapat latihan yang sewajarnya.

Katanya, walaupun pada mulanya kekok, selepas setiap hari berlatih, dia kini sudah mahir malah amat meminati keunikan seni tulisan itu.

Apabila ditanya mengenai penyertaannya dalam Kelab Tarian Singa, katanya, sejak kecil dia amat meminati tarian itu dan gembira apabila diberi peluang bermain alatan muzik dalam setiap persembahan yang diadakan.

“Selain membuat latihan kami juga ada mengadakan persembahan untuk majlis tertentu di sekolah atau rumah kenamaan yang menjemput kami,” katanya.

Mula bergaul dengan kaum Cina seawal usia muda membuatkan gadis yang bercita-cita menjadi juruterbang itu selesa dikelilingi mereka sepanjang masa, malah mempunyai rakan baik dari kaum itu dikenali sebagai Phun Yan Jun, 15.

Katanya, rakan sekelas yang lain juga tidak pernah menyisihkannya tetapi melayannya dengan baik walaupun hanya dia satunya-satunya pelajar Melayu dalam kelas.

Berita Harian X