Sabtu, 26 Januari 2019 | 4:25pm
GAMBAR fail, bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem bersama isteri Puan Sri Jamilah Anu pada April 2016. - Foto NSTP

Impian Tok Nan akhirnya tercapai juga

SEMATAN: “Sedih ada, terharu pun ada,” kata Puan Sri Jamilah Anu, ketika ditanya perasaannya melihat Projek Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Teluk Melano ke Sematan terlaksana dan dibuka secara rasminya kepada umum bermula hari ini.

Jajaran sepanjang sepanjang 33 kilometer itu antara yang diperjuangkan suaminya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, ketika beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak sejak 2014, malah ia satu-satunya jajaran dibina baharu bagi projek lebuh raya berkenaan.

Jamilah berkata, beliau sebak kerana arwah tidak sempat melihat jajaran diimpikannya itu siap dibina apabila meninggal dunia pada 11 Januari 2017.

“Saya juga terharu kerana usahanya itu, penduduk di sini (Teluk Melano) kini menikmati kemudahan jalan raya untuk ke Sematan seterusnya ke memandu ke tempat lain di negeri ini,” katanya.

Jamilah berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau titik permulaan projek itu di Kilometer O Lebuh Raya Pan Borneo di Teluk Melano, di sini bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.


Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg bersama Menteri Kerja Raya Baru Bian, dan kenamaan lain merakam kenangan pada majlis perasmian Lebuhraya Pan Borneo Negeri Sarawak Jajaran Telok Melano ke Sematan di Telok Melano. - Foto Nadim Bokhari

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu berkata, dengan adanya jalan raya berkenaan, pembangunan di kawasan penempatan penduduk yang terakhir di sebelah barat daya Sarawak itu dijangka bertambah rancak.

“Itulah yang dihasratkan oleh arwah dahulu. Beliau mahu jalan raya ini dibina supaya penduduk di sini mengecapi hidup yang lebih baik,” katanya.

Selain lebih 200 penduduk Kampung Teluk Melano, jalan raya berkenaan juga memberi manfaat kepada lebih 100 penduduk sebuah lagi kampung berhampiran itu Kampung Teluk Serabang.

Terdahulu, Majlis Perasmian Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Teluk Melano-Sematan disempurnakan bersama oleh Abang Johari dan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Berita Harian X