Rabu, 23 Januari 2019 | 1:50pm
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan permit penggunaan tanah dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) daerah Cameron Highlands kepada 22 pekebun di Pejabat Daerah Lipis hari ini. - Foto Roselan Ab Malek
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan permit penggunaan tanah dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) daerah Cameron Highlands kepada 22 pekebun di Pejabat Daerah Lipis hari ini. - Foto Roselan Ab Malek

73 pekebun Cameron Highlands dapat permit penggunaan tanah

LIPIS: Kerajaan negeri meluluskan permit penggunaan tanah seluas 146 hektar kepada 73 penduduk yang mengusahakan tanah kerajaan untuk pertanian di Cameron Highlands.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia membuktikan kerajaan negeri tidak pernah bertindak zalim terhadap mereka walaupun mengusahakan tanah kerajaan secara haram sejak puluhan tahun dulu.

Katanya, kerajaan negeri selama ini tidak pernah mengacau, merampas atau mengambil tindakan undang-undang kepada pekebun kecil terbabit walaupun mereka mengusahakan tanah kerajaan tanpa permit.

Wan Rosdy berkata, walaupun kerajaan negeri tahuramai pengundidi situtidak menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi kerajaan tidak pernah ambil tindakanberdendam terhadap mereka.

“Kerajaan BN adalah kerajaan yang prihatin dengan pekebun kecil kerana mengusahakan tanah berkenaan untuk menyara hidup keluarga, Kita sentiasa mengambil berat masalah rakyat Pahang tanpa mengira fahaman politik ” katanya.

“Tahun lalu, kerajaan negeri meluluskan sebanyak 51 permit dan hari ini seramai 73 lagi pekebun sayur yang mendapat permit penggunaan tanah.

Mereka terdiri daripada 64 pekebun kecil Cina, India (lima), dua masing-masing Melayu dan Orang Asli,” katanya pada media di majlis penyampaian permit penggunaan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) daerah Cameron Highlands di Pejabat Daerah Lipis, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Perhutanan Negeri, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd Ibrahim.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai turut menempelak dakwaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyelesaikan masalah penerokaan haram itu kerana mereka sebenarnya tidak boleh berbuat apa apa kerana tanah adalah hak milik kerajaan negeri.

Katanya, permit itu adalah satu inisiatif kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan bagi membuat pemutihan kawasan kawasan penerokaan lama dalam HSK di Cameron Highlands.

“Sebelum ini pemberian permit penggunaan bagi kebun diberi Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di tanah kerajaan dan ditukar status kepada HSK selepas pewartaan semula.

“Pekebun yang memperoleh permit penggunaan ini perlu membayar RM5,000 setiap permit sebagai bayaran ganti rugi bagi penukaran hutan kepada pertanian dan fi permit sebanyak RM1,500 sehektar untuk permit yang diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, permit itu hanya diberi kepada mereka yang mengusahakan tanah di bawah dua hektar dan sudah mengusahakannya lebih daripada 10 tahun.

Berita Harian X