Isnin, 21 Januari 2019 | 5:36pm
Aminuddin bersama keluarga ketika mendaki Gunung Angsi. - Ihsan pembaca
Aminuddin bersama keluarga ketika mendaki Gunung Angsi. - Ihsan pembaca

MB NS di puncak Gunung Angsi

KUALA PILAH: Meskipun baru menjalani pembedahan jantung dua bulan lalu, ia tidak membataskan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menawan puncak Gunung Angsi di sini, hari ini.

Pendakian bermula jam 7.50 pagi itu mencatat kenangan tersendiri buat Aminuddin yang pertama kali melakukan aktiviti berkenaan dengan ditemani isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof dan empat anak, Nur Amalina, 25, Mohd Irfan, 20, Nur Athira Basyirah, 17, dan Mohd Farid Hazim, 12.

Aminuddin berkata, beliau tidak menyangka dapat menamatkan pendakian melalui trek Bukit Putus ke puncak gunung setinggi 825 meter (2,702 kaki) dari aras laut itu dalam masa dua jam.

Ketika ditemui, beliau berkata program mendaki Gunung Angsi yang terletak berdekatan Hutan Lipur Ulu Bendol, Kuala Pilah itu dirancang pada saat akhir.

“Saya hanya membuat rancangan spontan bersama ahli keluarga, tambahan pula saya ingin melihat sendiri wajah baharu Gunung Angsi yang dibuka semula selepas ditutup selama sebulan untuk kerja-kerja naik taraf.

“Saya tidak merancang untuk mendaki hingga ke puncak berikutan baru sahaja menjalani pembedahan jantung Oktober lalu. Tetapi apabila saya melihat ramai pendaki daripada pelbagai lapisan umur, saya menjadi bersemangat untuk meneruskan pendakian sehingga ke puncak,” katanya.

Katanya, beliau tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang pendakian dan mengakui merancang untuk melakukan aktiviti itu lagi di masa akan datang.

Aminuddin bersama keluarga dan pendaki di puncak Gunung Angsi. - Ihsan pembaca
Aminuddin bersama keluarga dan pendaki di puncak Gunung Angsi. - Ihsan pembaca

Diminta mengulas wajah baharu trek Gunung Angsi yang semakin popular dalam kalangan pendaki tempatan dan luar negara, Aminuddin berkata beliau berpuas hati dengan kemudahan dan tahap kebersihan di kawasan rekreasi itu.

“Bila saya sudah naik sendiri, baru saya dapat melihat betapa cantiknya kawasan ini dan perlunya kita menjaga dan menaik taraf kawasan ini supaya ia dapat dinikmati bersama.

“Saya yakin Gunung Angsi boleh menjadi antara produk utama pelancongan Negeri Sembilan. Kerajaan negeri juga sudah mempunyai pelbagai perancangan untuk menambah baik lagi kawasan ini bagi menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Antara penambahbaikan yang dilakukan ketika penutupan trek Gunung Angsi yang bermula 3 hingga 31 Disember lalu ialah pembinaan wakaf baharu menggantikan pondok lama yang uzur di puncak gunung, membina pondok dan kerusi di beberapa ‘check point’ di sepanjang laluan, terutama di kawasan yang mempunyai pemandangan cantik bagi membolehkan pendaki berehat dan bergambar.

Selain itu, tali serta tangga besi di beberapa kawasan di sepanjang dua trek pendakian yang masing-masing bermula di Jalan Lama Bukit Putus dan Hutan Lipur Ulu Bendol itu juga ditukar, selain trek yang rosak dan licin terutama di kawasan curam, turut diperbaiki.

Aminuddin berkata, pelbagai perancangan dirancang dan akan dilaksanakan tahun ini bagi mempromosi Gunung Angsi dan beberapa kawasan pendakian lain di negeri ini.

“Jabatan Perhutanan negeri menyediakan pelbagai program cabaran pendakian yang akan dijalankan tahun ini terbuka untuk semua peminat aktiviti mendaki gunung.

“Kerajaan negeri juga akan merangka pelbagai program lain bersama agensi-agensi dan jabatan kerajaan negeri bagi merancakkan lagi industri pelancongan di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, selain Gunung Angsi, kerajaan negeri juga bercadang untuk menaik taraf kawasan-kawasan pendakian lain di negeri ini bagi menarik lebih ramai pelancong.

Berita Harian X