Rabu, 16 Januari 2019 | 3:24pm
TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengadakan lawatan ke Lotus Farm Agritech Sdn Bhd di Kuching, hari ini. - Foto Goh Pei Pei

Sarawak rangka pelan pemasaran hasil pertanian inklusif

KUCHING: Sarawak bercadang mewujudkan pelan pemasaran yang lebih inklusif bagi hasil pertanian negeri ini, termasuk produk buah-buahan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata inisiatif itu bagi membolehkan lebihan buah-buahan berkenaan diproses untuk menghasilkan produk.

“Apabila tiba musim buah, kita dapati begitu banyak buah seperti rambutan tidak dapat habis dimakan kerana terlalu banyak dan ia akhirnya dibiarkan sehingga buruk.

“Ini adalah pembaziran yang sangat besar dan oleh itu, saya telah mengarahkan Jabatan Pertanian untuk mencari mekanisme supaya kita dapat membeli buah-buahan ini dan diproses untuk dijadikan produk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Lotus Farm Agritech Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, buah-buahan seperti rambutan amat berpotensi untuk dijadikan produk bagi industri hiliran pertanian.

Katanya, ia sekali gus membantu pekebun dan mampu menambahkan pendapatan mereka.

“Kita sudah membangunkan banyak produk pertanian hiliran setakat ini seperti peria garing, kerepek pisang yang telah dijual ke China.

“Rambutan antara buah yang berpotensi kerana ia seperti longan yang boleh dijadikan produk hiliran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu memerlukan syarikat utama atau induk dalam bidang perniagaan berkenaan demi memastikan pemasaran produk dapat dibuat secara lebih meluas sehingga ke luar negara.

Berita Harian X