Jumaat, 11 Januari 2019 | 4:47pm
TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Foto Nadim Bokhari

Sarawak rangka strategi perkasa sektor pertanian

KUCHING: Sarawak merangka strategi untuk mencapai matlamat menjadi pengeksport makanan menjelang tahun 2030.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata antara yang perlu diberi perhatian utama ke arah itu ialah kaedah pengurusan sumber yang berkesan.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, mulai sekarang semua pihak yang terbabit dalam sektor pengeluaran makanan perlu bekerja dan melaksanakan perancangan itu secara efektif.

“Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg) memberikan kepercayaan kepada kita (Kementerian Pemodenan Pertanian) dengan meluluskan peruntukan yang besar tahun ini untuk memastikan kita dapat memperkasakan lagi sektor pengeluaran hasil pertanian dan penternakan.

“Semua pihak dalam agensi di bawah kementerian harus bersedia memikul tanggungjawab ini bagi memastikan rakyat Sarawak terus maju,” katanya dalam ucapan pada Majlis Amanat Pertanian 2019 di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat, Datuk Roland Sagah, Wee Inn; Menteri Muda Pertanian, Dr Abdul Rahman Ismail dan Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Ik Pahon Joyik.

Mengulas lanjut, Uggah berkata, bagi mencapai matlamat itu, kementeriannya juga mengenal pasti industri utama yang menawarkan potensi komersial terbaik.

“Ketika ini, kementerian memilih beberapa industri pertanian yang akan dipromosikan dalam jangka masa segera.

“Ia termasuk tanaman komoditi seperti kelapa sawit, getah, lada dan sagu, tanaman makanan seperti nanas, durian, pisang, kelapa dan padi serta industri berasaskan pertanian yang fokus kepada pemprosesan makanan, industri ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing selain industri perikanan seperti penternakan udang, ikan jelawat, ikan talapia dan siakap,” katanya.

Katanya, tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM286.9 juta bagi melaksanakan pelbagai program pemerkasaan sektor pertanian.

Berita Harian X