Khamis, 3 Januari 2019 | 1:19pm
NELAYAN pantai di Kuala Tunjang mengambil inisiatif sendiri menanam 300 pokok bakau bagi mengelak hakisan akibat ombak serta angin kencang di kawasan terbabit. - Foto Noorazura Abdul Rahman
NELAYAN pantai di Kuala Tunjang mengambil inisiatif sendiri menanam 300 pokok bakau bagi mengelak hakisan akibat ombak serta angin kencang di kawasan terbabit. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Nelayan tanam pokok bakau elak hakisan ombak

JERLUN: Kira-kira 50 nelayan pantai di Kuala Tunjang, di sini mengambil inisiatif sendiri menanam 300 pokok bakau bagi mengelak hakisan akibat ombak serta angin kencang di kawasan terbabit.

Nelayan, Sabri Othman, 61, berkata sejak 14 tahun lalu, tiga rumah nelayan di persisiran pantai musnah akibat dihempas ombak kuat menyebabkan bencana itu perlu dihalang segera.

“Walaupun kerajaan telah membina benteng penahan ombak, kami sebagai nelayan berasa masih tidak selamat menyebabkan kami memutuskan bergotong-royong menanam pokok bakau bagi mengelak hakisan terus berlaku.

“Pelbagai faktor berpunca daripada kerakusan manusia merosakkan alam sehingga mendedahkan nelayan kepada ombak besar, malah yang paling ditakuti adalah berlakunya tsunami,” katanya ketika ditemui pada Program Penanaman Bakau di sini, hari ini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Che Ani Mat Zain, 64, berkata penanaman semula pokok bakau penting bagi membolehkan ekosistem habitat semula jadi seperti ikan, udang dan ketam terus membiak.

Katanya, pada masa sama adalah penting bagi nelayan di kawasan Kuala Tunjang yang majoritinya adalah nelayan dapat terus menetap di situ kerana mereka bergantung kepada hasil laut.

“Hasil tangkapan nelayan semakin terjejas, ikan semakin berkurangan akibat pencemaran seperti sampah dan pencerobohan bot pukat tunda.

“Jika kami tidak mengambil tindakan dari sekarang, generasi nelayan pantai akan datang pasti sukar mencari rezeki di laut pada masa hadapan,” katanya.

Che Ani berkata, pihaknya mensasar menanam kira-kira 20,000 pokok bakau di pantai seluruh semenanjung Malaysia pada tahun ini.

“Pada tahun lalu, sebanyak 20,000 pokok bakau telah ditanam di beberapa pantai di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah, jadi untuk tahun ini kita mengharapkan perkara yang sama.

“Walaupun pokok bakau sukar diperolehi dan harganya RM8 setiap pokok, namun ia tidak boleh diukur sekiranya berlakunya hakisan dan memerlukan kos lebih tinggi bagi membuat benteng,” katanya.

Berita Harian X