Isnin, 31 Disember 2018 | 3:54pm
AZEEM Nazuri (kanan) dan kakitangan Shell Ayer Keroh menunjukkan bekalan minyak di dalam tangki simpanan stesen minyak pada Sidang Media Kedudukan Bekalan Bahan Api Petrol dan Diesel oleh KPDNHEP Negeri di Ayer Keroh. - NSTP/Khairunisah Lokman
AZEEM Nazuri (kanan) dan kakitangan Shell Ayer Keroh menunjukkan bekalan minyak di dalam tangki simpanan stesen minyak pada Sidang Media Kedudukan Bekalan Bahan Api Petrol dan Diesel oleh KPDNHEP Negeri di Ayer Keroh. - NSTP/Khairunisah Lokman

KPDNHEP Melaka jamin bekalan mencukupi

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memberi jaminan bahan api petrol serta diesel di negeri ini mencukupi untuk jualan harian dan terkawal.

Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Azeem Nazuri, berkata sehingga semalam, pihaknya sudah melakukan 87 pemeriksaan di stesen minyak bagi memastikan bekalan mencukupi.

“Kita akan melakukan pemeriksaan secara lebih agresif ke atas 121 stesen minyak di negeri ini, terutama apabila penyelarasan harga runcit bahan bakar itu yang dijangka dilaksanakan kerajaan esok.

“Bagaimanapun, sehingga kini, KPDNHEP tidak menerima sebarang aduan. Pemeriksaan pula mendapati tidak berlaku situasi tiada bekalan di stesen minyak di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan bekalan petrol dan diesel di Stesen Shell Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, pengurus stesen minyak Shell Ayer Keroh, Ridzuan Ahmad.

Azeem berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha stesen minyak yang menutup premis tanpa memaklumkan kepada KPDNHEP terlebih dulu.

“Setiap pemegang lesen runcit bahan api petrol dan diesel tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu pengusaha diwajibkan mematuhi syarat di dalam lesen antaranya bertanggungjawab memastikan bekalan bahan api sentiasa ada dan mencukupi untuk jualan harian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan pemeriksaan terhadap 25,737 pelbagai premis di negeri ini, tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 290 kes pelbagai akta diterima di bawah bidang kuasa KPDNHEP, termasuk Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sejumlah RM52,350 kompaun dikutip dengan nilai rampasan sebanyak RM1.12 juta dan denda RM427,900,” katanya.

Berita Harian X