Isnin, 31 Disember 2018 | 3:16pm
UMMI Nasrah Othman (tengah) bersama pagawai (KPDNHEP WPKL) melakukan pemantauan di Stesen stesen minyak, berikutan penyelarasan harga runcit petroleum oleh pihak kerajaan mulai 1 Januari 2019. - NSTP/Mahzir Mat Isa
UMMI Nasrah Othman (tengah) bersama pagawai (KPDNHEP WPKL) melakukan pemantauan di Stesen stesen minyak, berikutan penyelarasan harga runcit petroleum oleh pihak kerajaan mulai 1 Januari 2019. - NSTP/Mahzir Mat Isa

233 stesen minyak di ibu kota dipantau, pastikan bekalan mencukupi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 233 stesen minyak di ibu kota diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur bagi memastikan bekalan bahan api itu mencukupi.

Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ummi Nasrah Othman, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung bahan api tidak mencukupi di sekitar ibu kota.

“Pemeriksaan berkala ini akan dilakukan secara agresif pada minggu bagi memastikan bekalan mencukupi.

“Setiap premis yang diperiksa akan diberikan notis arahan bagi memastikan bekalan bahan api mencukupi mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya selepas melakukan tinjauan di dua premis stesen minyak di Jalan Kuching di sini, hari ini.

Ummi Nasrah berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menutup premis tanpa memaklumkan kepada pihak KPDNHEP.

“Sebarang tindakan tanpa mendapat kelulusan dan notifikasi daripada kementerian akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1962.

“Input yang diperoleh daripada syarikat minyak juga mendapati bekalan bahan api petrol dan diesel bagi kawasan Kuala Lumpur adalah mencukupi dan terkawal,” katanya.

Tambah beliau, pengguna juga dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Bekalan di kawasan ini didapati terkawal dan cukup. Pihak KPDNHEP juga akan memantau stesen minyak di kawasan seliaan.

“Pihak kami menyediakan 106 anggota penguatkuasa bagi memantau bekalan bahan api di stesen minyak,” katanya.

Baru-baru ini, dalam satu kenyataan, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (BUMIPEDA), Datuk Abu Samah Bachik, berkata pengguna dikhuatiri berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari.

Berita Harian X