Jumaat, 28 Disember 2018 | 4:05pm
Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas. - NSTP/Edmund Samunting
Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas. - NSTP/Edmund Samunting

Tak boleh tutup walaupun hanya satu pam

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah memberi amaran kepada pengusaha stesen minyak di negeri ini supaya mematuhi arahan memastikan bekalan harian bahan api sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna.

Pengarahnya, Georgie Abas, berkata pengusaha stesen minyak juga tidak dibenarkan menghentikan operasi walaupun hanya satu pam di stesen mereka tanpa notis awal atau kebenaran KPDNHEP.

Katanya, pengguna boleh membuat aduan kepada KPDNHEP jika mendapati ada stesen minyak menutup premis atau mana-mana pam di stesen terbabit sebagai kepastian sama ada ia mendapat kebenaran atau tidak.

“Stesen minyak bukan saja tidak boleh menutup premis sesuka hati, malah jika mereka menutup hanya satu pam tanpa kebenaran KPDNHEP juga adalah salah dan tindakan boleh diambil terhadap mereka.

“Sehubungan itu, jika pengguna mendapati ada stesen minyak menutup premis atau mana-mana pam di stesen terbabit, mereka boleh membuat aduan kepada KPDNHEP supaya kita dapat menjalankan pemeriksaan sama ada penutupan itu mendapat kebenaran atau tidak.

“Bagi jangka masa sekarang, semua stesen atau pam tidak boleh ditutup, malah kita memberi kelonggaran bagi yang lewat memperbaharui lesen supaya bekalan bahan api tidak terjejas khususnya sepanjang musim pembukaan sekolah ini,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kemungkinan bekalan petrol dan diesel berkurangan mulai 1 Januari ini seperti khabar angin yang tersebar dalam media sosial.

Georgie berkata, bekalan harian bahan api di Sabah ketika ini mencukupi dan tiada laporan mengenai ketiadaan atau penyusutan bekalan kepada stesen minyak di seluruh negeri.

“Bagi bekalan bahan api di sekitar Kota Kinabalu dan daerah sekitar pantai barat, kira-kira 1.23 juta liter diesel dan 1.68 juta liter petrol diagihkan setiap hari di semua stesen minyak yang ada di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, tiada laporan mengenai kekurangan bekalan daripada pihak pembekal, jadi tiada alasan untuk pengusaha stesen minyak menutup premis atau pam,” katanya.

Georgie berkata, pengendali stesen minyak tidak dibenarkan menutup atau memberhentikan penjualan petrol dan diesel seperti yang ditekankan dalam Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata, surat arahan kepada semua pemegang stesen minyak juga sudah dikeluarkan pada 26 Disember 2018 mengingatkan tanggungjawab mereka untuk memastikan bekalan petrol dan diesel di premis sentiasa ada dan cukup untuk jualan harian.

“Mereka juga tidak dibenarkan menutup stesen minyak atau memberhentikan penjualan petrol dan diesel di stesen,” katanya.

Kegagalan mematuhi arahan itu atau apa-apa syarat yang terkandung dalam lesen perniagaan adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1974.

Jika disabitkan kesalahan, pengusaha stesen minyak boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama atau RM3 juta bagi kesalahan kedua.

Berita Harian X