Selasa, 18 Disember 2018 | 3:14pm
SALEHUDDIN (kanan) melepaskan ikan di perairan Sungai Perak di Pangkalan Motorbot Nelayan Darat Kampung Luat. - ihsan pembaca

75,000 benih ikan dilepaskan di Sungai Perak

LENGGONG: Jabatan Perikanan Negeri Perak melepaskan 75,000 benih hidupan air di Sungai Perak di Kampung Luat, dekat sini, semalam.

Ia membabitkan 50,000 benih udang galah bernilai RM2,800, 10,000 benih ikan jelawat dan baung serta 5,000 benih patin bernilai RM8,000.

Ketua Cawangan Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Jabatan Perikanan negeri, Salehuddin Ismail, berkata program pelepasan benih udang dan ikan ini sudah lama dilaksanakan dengan pelepasan benih sebanyak 1.7 juta pada tahun 2016 dan 1.6 juta tahun lalu, walaupun sasaran pihaknya ialah melepaskan dua juta benih ikan setahun di Perak.

“(Kegagalan mencapai sasaran) kerana kita bergantung kepada peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat dan negeri. (Tahun ini) kerajaan negeri bagi RM100,000 dan kita harap dapat RM50,000 atau RM60,000 lagi daripada Kerajaan Pusat,” katanya ketika menyampaikan taklimat sempena program itu yang dihadiri lebih 30 nelayan darat berlesen di kampung itu.

Program sambil berkelah makan ikan tengalan, kelabau, lampam jawa, loma bakar dan baung gulai tempoyak yang disumbangkan oleh nelayan itu turut dihadiri Ketua Pusat Pengembangan dan Teknologi Perikanan Lenggong, Muhamad Amir Rullah Marabi; Ketua Kampung Luat, Radzi Mohamad dan Ketua Jaringan Perikanan Kampung Luat, Mohd Nor Ismail.

Sallehuddin berkata, sebanyak 330,261 benih ikan baung, lampam dan jelawat bernilai RM35,600 dilepaskan di perairan sebelah hulu Empangan Chenderoh pada tahun 2016 dan sebanyak 112,160 benih ikan sama bernilai RM6,729 dilepaskan tahun lalu.

Beliau berkata, lokasi sebenar pelepasan benih ikan itu ialah di Tasik Raban, Suak Dahong, Lubuk Puteri, Pengkalan Pipit dan Lubuk Bena dengan pendaratan ikan di kawasan berkenaan bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini ialah sebanyak 57.12 tan berbanding 56.58 tan metrik, tahun lalu.

Sallehuddin berkata, pelepasan benih ikan untuk tahun depan dijangka diadakan sebanyak dua kali bagi setiap daerah di Perak.

“Untuk tahun depan, kita akan buat dua kali pelepasan benih bagi setiap daerah. Kalau sambutannya sangat menggalakkan seperti ini, tiga kali pun boleh,” katanya.

Berita Harian X