Isnin, 17 Disember 2018 | 2:26pm
Bob menunjukkan hidangan nasi dagang dan nasi kerabu untuk hidangan pagi. - Foto Wan Jailani Razak
Bob menunjukkan hidangan nasi dagang dan nasi kerabu untuk hidangan pagi. - Foto Wan Jailani Razak
Bob menyediakan hidangan untuk pelanggan. - Foto Wan Jailani Razak
Bob menyediakan hidangan untuk pelanggan. - Foto Wan Jailani Razak

Bob Lokman berkongsi resipi dua bonda

SHAH ALAM: Bekas pelakon, pengacara dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman terus tabah mengusahakan perniagaan makanan selepas dua bulan pemergian anak kesayangannya.

Apa tidaknya, ketika Bob atau nama sebenar Mohd Hakim Lokman, 54, baru membuka gerai perniagaan di pekarangan Masjid I’tisam, TTDI Jaya, ketabahan beliau diuji dengan kematian anaknya, Mohd Adam, 25, akibat tumor otak, pada 5 Oktober lalu.

Malah, keadaan kesihatannya yang lemah akibat beberapa penyakit yang dihadapinya tidak menghalangnya untuk terus membuka gerai makanan, kali ini di lokasi berbeza, meskipun masih di TTDI Jaya.

Bersandarkan gabungan resipi istimewa ibu, Zubaidah @ Hasanah Mat dan ibu tiri, Norma Abd Rani, Bob yakin menu nasi kerabu, nasi dagang dan nasi berlauk tidak akan menghampakan penggemar hidangan yang terkenal di Pantai Timur itu.

Katanya, beliau mula memasak selepas Maghrib, sehari sebelum memulakan perniagaan keesokan pagi, dengan dibantu isteri, Relawati Daud, 40.

“Ini kerana kuah nasi kerabu dan kuah nasi dagang kena masak dahulu bagi pusingan pertama untuk menerbitkan rasa kuah yang sebati. Bagi pusingan kedua, baru saya sediakan nasi dagang dan kuah laksam serta ulam-ulaman.

“Kedua-dua ibu saya mengajar masakan sama tetapi caranya ada sedikit berbeza. Misalnya dalam merebus ikan tongkol pun ada cara tertentu. Jadi, saya ambil yang logik, serasikan. Sama seperti dalam penyediaan nasi maqluba, saya belajar daripada dua tukang masak dan saya jadi ‘mazhab’ ketiga,” katanya dalam satu pertemuan dengan NSTP, di sini.

Bob berkata, beliau banyak merujuk kepada penyediaan nasi berlauk terkenal di beberapa daerah di Kelantan, sebelum menghasilkan hidangan terbaik.

Relawati mengambil pesanan pelanggan. - Foto Wan Jailani Razak
Relawati mengambil pesanan pelanggan. - Foto Wan Jailani Razak

Katanya, antaranya ialah nasi berlauk air dingin di Tumpat, nasi berlauk We Po di Pasir Putih dan nasi berlauk Pokya di Kubang Kerian.

“Sebenarnya nasi berlauk sedap dimakan ketika ia ‘bengkak’. Nikmat nasi bengkak, kena bungkus, bubuh kuah selepas sejam baru makan, aroma lebih sedap daripada makan di kedai.

“Gulai kuning nasi berlauk yang saya masak boleh tahan sampai Asar. Santan kena masak sampai pecah minyak,” katanya.

Bob yang terkenal dengan lirik lagu ‘Isabella’ nyanyian Kumpulan Search, berkata ketika berkelah atas bot di Tasik Kenyir, kuah nasi berlauk yang dibawanya boleh bertahan sampai tiga hari.

Menceritakan mengenai hidangan nasi kerabu tumis, beliau berkata penyediaan di bandar besar seperti Kuala Lumpur sedikit bermasalah berikutan kesukaran mendapatkan pucuk daun samak, daun salam atau daun serai kayu yang menjadi ‘rukun’ bagi menu berkenaan.

“Nasi kerabu autentik bukan berwarna biru. Warna kebiruan itu datang pada awal 70-an dan tidak menggunakan tumis tetapi cuka cili. Yang asal ialah nasi kerabu tumis.

“Di sini, saya campurkan daun kesum, bunga kantan, timun, kacang panjang dan taugeh. Orang di sini suka pedas, makan dengan sambal belacan, menyebabkan rasanya rosak.

“Oleh itu, saya sediakan cili jeruk, tambahan bawang putih jeruk, kambing bakar, ayam bakar, ikan rebus goreng, telur masin dan keropok ikan,” katanya.

Bob berkata, nasi dagang pula dihidangkan dengan kerutuk ayam, gulai kunyit lengkuas, sambal kelapa dan telur rebus tanpa acar.

Sementara itu, pelanggan, Muhammad Jafarudin Syeik Daud, berkata beliau baru menghabiskan sepinggan nasi kerabu dan amat berpuas hati dengan rasanya.

Pelanggan, Muhammad Jafarudin Syeik Daud. - Foto Wan Jailani Razak
Pelanggan, Muhammad Jafarudin Syeik Daud. - Foto Wan Jailani Razak

“Ramuannya secukup rasa, daging kambing, rasa rempah sampai ke tulang,” katanya yang berjanji akan kembali ke kafe Bob Lokman yang terletak di Nombor 13, Jalan Opera J U2/J, Taman TTDI Jaya, di sini dan dibuka setiap hari kecuali Isnin, bermula jam 7 pagi hingga 11 pagi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X