Rabu, 12 Disember 2018 | 12:24pm
WAN Rosdi (duduk tiga dari kanan) dan Dr Mohd Hizamri (duduk dua dari kiri) bergambar dengan 51 pekebun sayur dan bunga pada majlis penyerahan permit penggunaan dalam kawasan hutan simpan kekal di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
WAN Rosdi (duduk tiga dari kanan) dan Dr Mohd Hizamri (duduk dua dari kiri) bergambar dengan 51 pekebun sayur dan bunga pada majlis penyerahan permit penggunaan dalam kawasan hutan simpan kekal di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

51 pekebun terima permit guna hutan Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS: Seramai 51 pekebun sayur dan bunga serta pemilik kolam takungan air menerima permit penggunaan dalam kawasan hutan simpan kekal daerah ini daripada Jabatan Perhutanan Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail, berkata permit atau kebenaran yang diberikan itu memberi peluang kepada mereka meneruskan aktiviti pertanian dilakukan sebagai sumber pendapatan.

Katanya, kebanyakan pekebun berkenaan sudah lebih 10 tahun mengusahakan projek pertanian dalam kawasan hutan simpan kekal Cameron Highlands dan masing-masing memiliki kawasan seluas kira-kira 2.02 hektar.

Beliau berkata, selepas 12 tahun pengeluaran permit penggunaan dalam kawasan hutan simpan kekal daerah ini dibekukan kini kerajaan negeri tampil memberi kebenaran bertujuan membela nasib golongan pekebun sayur dan bunga.

“Pekebun yang dibenarkan mengusahakan projek pertanian dalam hutan simpan diingatkan supaya menjaga alam sekitar dan tidak bertindak membesarkan kawasan kebun sedia ada,” katanya pada majlis penyerahan permit penggunaan dalam kawasan hutan simpan kekal daerah ini di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis.

Wan Rosdy berkata, pekebun juga diminta supaya menguruskan kebun masing-masing dengan lebih sistematik selain sentiasa mematuhi setiap peraturan pihak berkuasa atau dikenakan tindakan undang-undang seterusnya permit ditamatkan.

Beliau berkata, pemberian permit penggunaan kawasan hutan simpan kekal diharap dapat membendung aktiviti penerokaan tanah untuk pertanian di daerah ini secara haram selain mengurangkan ketirisan hasil pertanian yang diusahakan atas hutan simpan kekal.

“Pemberian permit juga dapat menambah pendapatan kerajaan negeri menerusi bayaran cukai tanah oleh pekebun sayur dan bunga selain pemilik kolam takungan air,” katanya.

Sementara itu, pekebun, Teh Chin Lim, 57, berkata selepas menunggu lebih 35 tahun, permohonan permit menggunakan kawasan hutan simpan kekal akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya berterima kasih pada kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan yang meluluskan permit bagi memberi peluang kepada kami meneruskan projek yang diusahakan sejak dahulu lagi.

“Saya akan membayar kompaun sebanyak RM3,000 yang dikenakan dan bayaran permit sebanyak RM1,500 setahun bagi kawasan seluas sehektar,” katanya yang mengusahakan tanaman sayur dan bunga di Kampung Raja, di sini.

Berita Harian X