Ahad, 9 Disember 2018 | 5:23pm
Sembilan pendaki dari kiri, P. Tahnaraj Pillai, 42; P. Krishnan, 32; R. Sugumar, 58; penaja utama M. Govind, 52; J. Michael Dass, 52; G. Raju, 68; A. Balakrishan, 63; G. Puvaneswary, 57; A. Arujunan, 60; dan J. Lucas, 50, bergambar kenangan bersama sebelum ekspedisi pendakian ke Annapurna Base Camp (ABC) di Kathmandu, Nepal ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas. - Foto Mikail Ong
Sembilan pendaki dari kiri, P. Tahnaraj Pillai, 42; P. Krishnan, 32; R. Sugumar, 58; penaja utama M. Govind, 52; J. Michael Dass, 52; G. Raju, 68; A. Balakrishan, 63; G. Puvaneswary, 57; A. Arujunan, 60; dan J. Lucas, 50, bergambar kenangan bersama sebelum ekspedisi pendakian ke Annapurna Base Camp (ABC) di Kathmandu, Nepal ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas. - Foto Mikail Ong

Warga emas dan rakan berhasrat tawan Annapurna

GEORGETOWN: Usia lebih separuh abad bukan penghalang bagi sekumpulan warga emas, termasuk seorang wanita untuk menyahut cabaran pendakian ke Annapurna Base Camp (ABC) di Kathmandu, Nepal.

Mereka ialah, G Raju, 68; A Balakrishnan, 63; A Chandrasegaran, 60; R Sugumar, 58; J Michael Dass, 52; J Lucas, 50; P Thanaraj Pillai, 42; P Krishnan, 32, dan satu-satunya peserta wanita, G Puvaneswary, 57.

Penganjur acara berkenaan, Chandrasegaran, berkata enam daripada sembilan peserta pendakian itu adalah ahli Penang Sports Club, manakala bakinya pula rakan karib mereka.

Katanya, ekspedisi itu dijangka berlangsung selama tujuh hari dengan proses pendakian bermula esok dari kem Pengkalan Pokhara menuju ke ABC yang terletak pada ketinggian 4,130 meter (m).

“Mendaki bukit ini memang hobi saya sejak 26 tahun lalu. Kebiasaannya daki bukit di di Pulau Pinang, selain beberapa tempat di negeri dan negara lain sehingga ada rakan yang mahu merasai sendiri ekspedisi naik ke ABC.

“Cabaran ini terpulang kepada individu tetapi bagi saya, usia bukan penghalang kerana kalau hati sudah mahu... macam mana pun kita mesti nak capai juga. Kita kena suka apa yang kita buat, kalau tak, pasti akan ada pelbagai alasan.

“Tambahan pula, ini kali ketiga saya mendaki ke ABC. Bagaimanapun, saya tetap menjalankan persediaan bersama rakan ekspedisi lain sejak Februari lalu dengan mendaki beberapa bukit di negeri ini, termasuk Bukit Bendera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, hari ini, sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memulakan ekspedisi berkenaan

Sementara itu, Puvaneswary berkata cabaran yang akan dihadapinya adalah untuk bertahan sepanjang pendakian yang dijangka sekitar lima hingga enam jam sehari, dalam keadaan sejuk untuk sampai ke ABC.

Katanya, ekspedisi pendakian yang disertainya itu mendapat sokongan keluarga, selain pesara guru itu kini sedang memberi pendedahan kepada anak keduanya untuk menyertai mana-mana misi pendakian.

“Jadual perjalanan kami selama empat hari untuk mendaki ke ABC, manakala tiga hari lagi untuk kembali ke titik permulaan ekspedisi. Ini adalah pendakian pertama saya di lokasi antarabangsa.

“Sekarang saya sudah 57 tahun dan kalau tak buat sekarang, tak tahu lagi bila boleh sampai ke sana, malah saya sangat teruja untuk melihat pemandangan di ABC... macam mana pun perlu habiskan pendakian ini bagi mencapai sasaran dan kepuasan diri.

“Sebelum ini saya ada mengajak beberapa rakan perempuan untuk sertai misi pendakian ini, tetapi ada yang tak berani, selain jangka masa kurang sesuai untuk sebahagian lain,” katanya.

Berita Harian X