X
Ahad, 9 Disember 2018 | 2:01pm
LOKASI kejadian letupan dipercayai berpunca daripada kebocoron gas di CityONE Megamall, Kuching, Selasa lalu. - Foto ihsan bomba
LOKASI kejadian letupan dipercayai berpunca daripada kebocoron gas di CityONE Megamall, Kuching, Selasa lalu. - Foto ihsan bomba

CityONE dibuka secara berperingkat

KUCHING: CityONE Megamall, di sini, kini dibuka semula secara berperingkat bermula hari ini, selepas ditutup selama empat hari berikutan insiden letupan di Restoran NeNe Chicken, dalam kejadian pada Selasa lalu.

Pemilik pusat beli belah berkenaan, Stephen Long Tine Chung, berkata selain itu pengunjung juga diberikan kadar percuma untuk meletakkan kereta bermula hari ini sehingga berakhir dalam tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Konsultan Kejuruteraan Struktur Bertauliah sudah memberi pengesahan insiden letupan dalaman terbabit tidak menjejaskan struktur integriti bangunan pusat beli belah berkenaan. Justeru, pihak kami diberikan kelulusan untuk membuka semula CityONE daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Bahagian yang dibuka bermula hari ini hanya membabitkan Blok C dan Blok D, di Mall 1, manakala Mall 2 dibuka sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tine Chung yang juga Pengarah Kenbest Sdn Bhd, ketika mengulas lanjut, berkata Blok A dan Blok B pusat beli belah itu dijangka dibuka semula pada Rabu ini sekiranya mendapat pengesahan keselamatan.

Pada Jumaat lalu, pemeriksaan mendapati suis utama, sistem pendingin hawa termasuk komponen elektrik di CityONE Megamall, disahkan selamat, dengan penyewa premis dibenarkan masuk ke premis masing-masing pada jam 2 petang hari sama.

Dalam kejadian pada jam 3.30 petang, Selasa lalu, rangkaian francais makanan segera Korea, NeNe Chicken Malaysia, meletup dipercayai berpunca daripada kebocoran gas ketika kerja ubah suai sedang dijalankan. Restoran berkenaan sepatutnya dibuka sehari selepas kejadian.

Letupan berkenaan menyebabkan Tchee Kiom Joong, 24, Chin Hsien Loong, 29, dan O Kui Lim, 49, maut, selain mencederakan 41 mangsa lain.

Berita Harian X