Khamis, 6 Disember 2018 | 5:11pm
PENGARAH Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi (dua dari kanan) disaksikan Pakar Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Mohd Muhaimin Kambali (kanan) menyampaikan cederamata kepada seorang penderma darah selepas merasmikan kempen menderma darah anjuran Majlis Kebajikan dan Anggota-Anggota Kerajaan Terengganu (MAKSAK) di Dewan Besar Wisma Darul Iman. - NSTP/Baharom Bakar
PENGARAH Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi (dua dari kanan) disaksikan Pakar Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Mohd Muhaimin Kambali (kanan) menyampaikan cederamata kepada seorang penderma darah selepas merasmikan kempen menderma darah anjuran Majlis Kebajikan dan Anggota-Anggota Kerajaan Terengganu (MAKSAK) di Dewan Besar Wisma Darul Iman. - NSTP/Baharom Bakar

Tabung darah kering hujung tahun

KUALA TERENGGANU: Bekalan darah di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, berhadapan kekurangan setiap akhir tahun berikutan orang ramai sibuk membuat persiapan menghadapi banjir dan melancong bersama ahli keluarga sempena cuti persekolahan.

Pakar Perubatan Transfusi Darah HSNZ, Dr Mohd Muhaimin Kambali, berkata bekalan darah di HSNZ mencatatkan trend penurunan setiap kali musim tengkujuh yang bermula pada Oktober hingga Januari.

Beliau berkata, kekurangan bekalan darah juga berlaku pada setiap Ramadan kerana umat Islam yang menjadi majoriti penduduk di negeri ini berpuasa.

“Unit Transfusi Darah Jabatan Patologi HSNZ memerlukan darah sebanyak 675,000 mililiter (ml) darah setiap bulan untuk menampung penggunaan di dewan bersalin, kecederaan teruk berikutan kemalangan dan bagi kegunaan pesakit di wad.

“Walaupun bekalan darah di Unit Transfusi HSNZ belum berada di paras kritikal, tetapi kami meminta orang ramai, termasuk penderma tegar terus menderma,” katanya selepas majlis perasmian Program Kempen Menderma Darah Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK), di sini, hari ini.

Majlis perasmian kempen menderma darah dilakukan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi.

Dr Mohd Muhaimin berkata, keperluan darah paling tinggi ialah untuk pemindahan darah kira-kira 200 pesakit talasemia di negeri ini yang memerlukan sebanyak 90,000 ml darah setiap bulan.

“Unit Transfusi Darah HSNZ memerlukan lebih banyak darah jenis ‘O’ berikutan darah itu sesuai digunakan untuk semua pesakit.

“Jika berlaku kes kecemasan yang memerlukan pemindahan darah, kebiasaannya darah jenis ‘O’ akan digunakan sebelum kita tentukan jenis darah pesakit untuk rawatan lanjut,” katanya.

Dr Mohd Muhaimin berkata, orang ramai boleh menderma darah pada setiap Ahad hingga Rabu mulai jam 8 pagi hingga 4.30 petang dan dari jam 8 pagi hingga 3 petang (Khamis), manakala 8 pagi hingga 12 tengah hari pada setiap Sabtu.

Berita Harian X