X
Jumaat, 30 November 2018 | 12:39pm
Pelbagai saiz paip disambung secara haram disyaki untuk mencuri air di sepanjang Jalan Batu Sapi, Sandakan. - Foto ihsan JANS Sandakan
Pelbagai saiz paip disambung secara haram disyaki untuk mencuri air di sepanjang Jalan Batu Sapi, Sandakan. - Foto ihsan JANS Sandakan

JANS kesan 8 sambungan paip haram

SANDAKAN: Lapan sambungan paip air haram, dipercayai untuk mencuri air ditemui sepanjang jalan Batu Sapi, dalam operasi khas Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Sandakan, di sini, semalam.

Dalam operasi bermula jam 9.30 pagi, paip haram pelbagai saiz didapati disambung terus ke paip utama 200 milimeter (mm) yang bukan sahaja menyebabkan gangguan, malah kerugian besar kepada JANS.

Difahamkan, paip ditemui ‘berlingkar’ dalam longkang dan turut terlindung dengan rumput disyaki untuk melindungi kegiatan haram terbabit.

Jurutera JANS Sandakan, Ishar Hamka Ismail, berkata operasi dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat berlaku kegiatan mencuri air di sepanjang jalan berkenaan.

Berikutan itu, katanya, operasi khas dilancarkan dan siasatan dengan bantuan pihak Salcon Enginering mendapati, paip utama 200mm mengalami kebocoran.

Pelbagai saiz paip disambung secara haram disyaki untuk mencuri air di sepanjang Jalan Batu Sapi, Sandakan. - Foto ihsan JANS Sandakan
Pelbagai saiz paip disambung secara haram disyaki untuk mencuri air di sepanjang Jalan Batu Sapi, Sandakan. - Foto ihsan JANS Sandakan

“Penguat kuasa JANS Sandakan kemudian menemui lapan sambungan haram di sepanjang jalan itu disyaki untuk sambungan ke rumah-rumah di Kampung Sundang dan Kampung Bakau.

“Satu sambungan menggunakan paip bersaiz 5.08 sentimeter (sm) dan tujuh paip lagi menggunakan paip kira-kira 2.54sm,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ishar berkata, paip berkenaan kemudian dirampas dan dibawa ke pejabat JANS Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kami berharap semua pengguna dapat mematuhi peraturan ditetapkan berkaitan bekalan air atau berdepan denda yang berat dan kita memohon kerjasama orang ramai untuk memaklumkan jika berlaku sebarang kecurian atau kebocoran paip,” katanya.

Berita Harian X