Sabtu, 24 November 2018 | 11:01am
Keadaan Tebing Sungai Linggi yang runtuh berhampiran muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Linggi, menyebabkan LRA itu terpaksa ditutup untuk kerja baik pulih. - Foto ihsan SAINS
Keadaan Tebing Sungai Linggi yang runtuh berhampiran muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Linggi, menyebabkan LRA itu terpaksa ditutup untuk kerja baik pulih. - Foto ihsan SAINS

Gangguan air di Seremban, PD, Rembau berlarutan

SEREMBAN: Gangguan bekalan air akibat tebing runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi di sini, yang menjejaskan hampir 45,000 pemilik premis di sebahagian daerah Seremban, Port Dickson dan Rembau dijangka berlarutan sehingga Isnin ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Norzita Ismail, berkata kerja baik pulih sedang dijalankan pihaknya serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, sejak kelmarin.

“SAINS akan memastikan pengguna yang terjejas mendapat bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik yang sudah diatur dalam tempoh gangguan ini.

“SAINS juga memberi keutamaan menempatkan tangki statik di kawasan strategik termasuk masjid, pasar dan pekan selain mengikut keperluan mendesak seperti tempat yang berlaku kematian atau kenduri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, SAINS memohon maaf atas kesulitan dan akan berusaha memastikan kerja baik pulih diselesaikan dengan segera.

Sementara itu, Norzita berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SAINS) kerana membantu mendapatkan kerjasama semua syarikat air di negara ini untuk menghantar bantuan 17 lori tangki ke Port Dickson.

Katanya, SAINS sendiri menggunakan 21 lori tangki termasuk milik sendiri dan disewa bagi menghantar air ke kawasan terjejas.

SAINS semalam memaklumkan, LRA Sungai Linggi terpaksa ditutup untuk sementara waktu berikutan tebing Sungai Linggi yang runtuh berhampiran muka sauk LRA berkenaan akibat hujan lebat berterusan kelmarin.

Antara kawasan terjejas di Seremban ialah Taman Pinggiran Senawang; Hentian Senawang; Senawang Perdana; RTM; Taman Ulu Lalang; Kampung Solok; Kampung Ribu; Kampung Sega Hilir; Jalan Kuala Sawah; Kampung Nyatoh; Rumah Rakyat Nyatoh; Taman Bandar Ekar; Pekan Rantau; Taman Rantau; Jalan Air Kuning; Taman Permata; Kampung Siliau dan Kampung Sungai Sendayan.

Di Rembau pula Taman Chembong Utama; IPD Chembong; Sekolah Teknik Chembong; Ladang Batu Hampar; Halal Park; Kampung Pedas; Taman Pinggiran Pedas; Kampung Minching; Taman Pedas Indah; Kampung Sungai Ibor; Kampung Seberang Batu 2; Kampung Sungai Batu; Kampung Sungai Lalah; Taman Pedas Perdana.

Jalan Mungkal, Jalan Tok Nara; Jalan Ampang Batu; Jalan Mungkal Tobek; Jalan Tok Menteri; Jalan Tok Samad; Jalan Bunga Raya, Jalan Dato’ Keramat, Taman Exora dan Kundur.

Beberapa kawasan di Port Dickson yang terjejas termasuk Taman PD Perdana; Batu 4; Batu 5; Batu 6; seluruh kawasan Pekan Lukut sehingga kawasan Bandar Springhill; Tanah Merah Site C; seluruh kawasan pekan Port Dickson; Bukit Pelandok dan Chuah.

Berita Harian X