Sabtu, 17 November 2018 | 7:13pm

TLDM rasmi PASKAL, tauliah beret Ungu

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merasmikan Pusat Latihan Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk model pelantar minyak bagi terus memastikan kesiapsiagaan pasukan elit laut berkenaan sentiasa yang terbaik.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata pusat latihan berkenaan bertaraf antarabangsa, baharu dan canggih merangkumi semua aspek.

Menurutnya, pusat latihan berkenaan mempunyai pelbagai kemudahan seperti ‘mock up’ pelantar minyak, bangunan ‘Close Quarter Battle’ (CQB), menara dan kolam tempur, gimnasium terbuka, gelanggang tinju, ‘hangar’ payung terjun, gedung senjata serta lapang sasar.

“Pusat ini pelbagai guna dalam satu kompleks dan merangkumi aspek ancaman maritim seperti pelantar minyak, dan kita mempunyai keupayaan ini (dengan) persiapan kolam yang dalam (dan menyediakan) bentuk latihan sebenar sekiranya pelantar minyak kita menerima ancaman.

“Pusat latihan ini dibina di atas tapak seluas empat hektar membabitkan kos sebanyak RM24 juta dan tertumpu kepada keperluan asas serta satu kompleks yang menyeluruh.

“Fasa berikutnya akan dilengkapi dengan teknologi canggih seperti simulator,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pusat berkenaan di Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini.

AHMAD Kamarulzaman menandatangani plak perasmian Pusat Latihan PASKAL dan Penutup Kursus Asas PASKAL di Pusat Latihan PASKAL, Pangkalan TLDM Lumut. - NSTP/Muhaizan Yahya
AHMAD Kamarulzaman menandatangani plak perasmian Pusat Latihan PASKAL dan Penutup Kursus Asas PASKAL di Pusat Latihan PASKAL, Pangkalan TLDM Lumut. - NSTP/Muhaizan Yahya

Penubuhan Pusat Latihan PASKAL bakal menjadi institusi latihan yang mampu melahirkan warga PASKAL terlatih, cekap dan bersedia untuk menghadapi sebarang ancaman.

Lebih menarik, bangunan tempur yang ada menyediakan pentas pelbagai bentuk pertempuran dan penembakan yang boleh diubah suai mengikut senario pertempuran.

Katanya, pusat berkenaan juga memperkukuhkan serta dapat menampung keperluan PASKAL pada masa hadapan dan secara tidak langsung, selaras dengan pelan transformasi ‘TLDM 15 to 5’.

Sementara itu, menjawab mengenai kesediaan TLDM membuka peluang kepada pasukan lain untuk menggunakan kemudahan pusat berkenaan, Ahmad Kamarulzaman berkata, setiap pembangunan yang dibuat kerajaan perlu dikongsi dengan semua perkhidmatan.

“Apa saja pembangunan dibuat kerajaan perlu dikongsi dengan semua perkhidmatan bukan saja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi pasukan lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan ini dapat menjimatkan,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau berkata, pembinaan infrastruktur latihan itu adalah pembangunan yang penting kepada kelangsungan operasi TLDM khasnya dalam aspek operasi khas.

Katanya, hala tuju pusat latihan PASKAL itu adalah untuk menjadikan sebuah pusat latihan yang ulung dan peneraju dalam operasi khas maritim.

“Pusat ini bertanggungjawab sebagai ‘Centre of Excellence’ (pusat kecemerlangan) bagi operasi khas maritim khususnya dalam pembangunan taktik, teknik dan prosedur mengikut keperluan dan perkembangan semasa,” katanya.

DEMONSTRASI anggota PASKAL pada Penutup Kursus Asas Komando PASKAL Siri 65/18 di Pusat Latihan PASKAL di Pangkalan TLDM Lumut. - NSTP/Muhaizan Yahya

AHMAD Kamarulzaman memakaikan Beret Ungu PASKAL kepada anggota yang berjaya menamatkan Kursus Asas Komando PASKAL Siri 65/18 di Pusat Latihan PASKAL, Pangkalan TLDM Lumut. - NSTP/Muhaizan Yahya
AHMAD Kamarulzaman memakaikan Beret Ungu PASKAL kepada anggota yang berjaya menamatkan Kursus Asas Komando PASKAL Siri 65/18 di Pusat Latihan PASKAL, Pangkalan TLDM Lumut. - NSTP/Muhaizan Yahya

Pada majlis itu, seramai 65 penuntut Kursus Asas Komando PASKAL menerima penganugerahan Beret Ungu yang melayakkan mereka bergelar komando. Ia membabitkan empat pegawai dan 53 anggota lain-lain pangkat TLDM, seorang anggota Tentera Laut Bangladesh, seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan enam peserta dari Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM).

Dalam pada itu, Ahmad Kamarulzaman turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan filem PASKAL yang disifatkan memberi kesan tinggi kepada imej pasukan elit berkenaan dan TLDM.

“Saya tidak menyangka ia mendapat sambutan yang luar biasa dan dapat lihat petunjuk (yang baik) apabila penonton bangun dan memberikan tepukan dan (ini menunjukkan) mereka merasai dan (mempunyai) semangat patriotisme yang kuat serta menghargai pengorbanan mereka (anggota PASKAL).

“Walau bagaimanapun, (kejayaan filem PASKAL) bukan saja untuk PASKAL tetapi semua pasukan keselamatan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Kamarulzaman turut meluangkan masa beramah mesra dengan warga TLDM yang mengikuti program pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) secara separuh masa menggunakan pembiayaan sendiri dengan kerjasama empat universiti tempatan.

AHMAD Kamarulzaman memakaikan Beret Ungu PASKAL kepada anggota yang berjaya menamatkan Kursus Asas Komando PASKAL Siri 65/18 di Pusat Latihan PASKAL, Pangkalan TLDM Lumut. - NSTP/Muhaizan Yahya
AHMAD Kamarulzaman memakaikan Beret Ungu PASKAL kepada anggota yang berjaya menamatkan Kursus Asas Komando PASKAL Siri 65/18 di Pusat Latihan PASKAL, Pangkalan TLDM Lumut. - NSTP/Muhaizan Yahya
Berita Harian X