Isnin, 12 November 2018 | 4:43pm
KHAN Lee mencatatkan pemilikan aset tertinggi dalam kalangan tiga EXCO dan 21 wakil rakyat baharu kerajaan Pulau Pinang. - NSTP/Mikail Ong
KHAN Lee mencatatkan pemilikan aset tertinggi dalam kalangan tiga EXCO dan 21 wakil rakyat baharu kerajaan Pulau Pinang. - NSTP/Mikail Ong

Aset Khan Lee bernilai RM8.1 juta

GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bungah, Ong Khan Lee mencatatkan pemilikan aset tertinggi dalam kalangan tiga EXCO dan 21 wakil rakyat baharu kerajaan Pulau Pinang menerusi pengumuman pengisytiharan yang berakhir 31 Januari lalu.

Menerusi makluman di portal kerajaan negeri, Khan Lee direkodkan memiliki sembilan unit hartanah berjumlah RM8.1 juta dengan lima daripadanya dimiliki secara bersama dengan isteri beliau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, mencatat perolehan aset tertinggi dalam kalangan tiga EXCO baharu di Pulau Pinang dengan memiliki hartanah bernilai lebih RM1 juta dan lima kereta berjumlah RM610,000.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pengisytiharan harta itu tidak membabitkan EXCO dan ADUN kerajaan negeri yang dilantik semula kerana semua mereka sudah menjalankan proses itu pada akhir penggal lalu.

Bagaimanapun, katanya, pengisytiharan harta berkenaan dibuat hanya berdasarkan pemilikan aset masing-masing selain ia tidak mengambil kira pendapatan serta elaun EXCO atau ADUN kerajaan negeri.

“Juruaudit bebas bertauliah, Grant Thornton yang dilantik kerajaan negeri mendapati semua maklumat dan dokumen dikemukakan adalah teratur dengan perinciannya sudah dimuat naik di laman sesawang www.penang.gov.my sebelum sidang media ini.

“Kerajaan negeri sekali lagi menunaikan janjinya di mana pengisytiharan harta EXCO dan ADUN diumumkan secara terbuka, selari dengan slogan ‘Cekap, Akauntabiliti dan Telus’ (CAT),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ia turut membabitkan, EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari serta EXCO Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, dana bernilai RM81,159.63 hasil pemotongan 10 peratus gaji Ketua Menteri dan 10 EXCO kerajaan Pulau Pinang akan disalurkan ke Tabung Harapan bagi membantu menyelesaikan hutang negara.

“Ia adalah hasil daripada persetujuan untuk melakukan pemotongan gaji pihak berkaitan, yang dimuktamadkan kerajaan negeri, pada 31 Mei lalu. Pemotongan berkenaan dilakukan mulai Jun hingga November tahun ini,” katanya.

Berita Harian X