Sabtu, 10 November 2018 | 4:05pm
SYAHER Farhuddin Mohd Saffian (kiri) dan Mohd Fadzreel Harris Mohd Fadli Hisham menyertai Pertandingan Lembu Sado Terengganu di Pekarangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Manir, hari ini. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

'Besar lembu daripada tuan'

KUALA TERENGGANU: Dua kanak-kanak berusia sembilan dan 12 tahun mencuri perhatian ramai apabila menjadi peserta paling muda menyertai Pertandingan Lembu Sado Terengganu di Pekarangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Manir, di sini, hari ini.

Syaher Farhuddin Mohd Saffian, 9, dari Kampung Kubang Jela di sini, dan Mohd Fadzreel Harris Mohd Fadli Hisham, 12, dari Kampung Jeram, di sini, antara 50 peserta dari semua daerah yang bertanding.

Syaher Farhuddin mempertandingkan lembu baka charolais kesayangannya yang diberi nama ‘Debek’ seberat 452 kilogram (kg), manakala Mohd Fadzreel Harris dengan lembu baka Belgian Blue berusia sembilan bulan dan seberat 320 kg.

Mohd Fadzreel Harris berkata, dia sudah lama berhasrat mempertandingkan lembu kesayangannya yang dipelihara sejak berusia sembilan bulan itu.

“Bapa beli lembu itu dengan harga RM8,000 ketika ia berusia sembilan bulan dan saya yang menjaganya sehingga sekarang. Sekarang lembu yang dipanggil BB itu berusia setahun dan bertambah cantik selain semakin berotot.

“Berbaloi apabila bapa membelinya kerana otot pada tubuhnya semakin timbul seperti ahli bina badan dan ia menepati gelaran lembu sado,” katanya.

Mohd Fadzreel Harris berkata, dia menjaga BB sebaik mungkin dengan memastikan makanan dan keperluan lain seperti ubat-ubatan dan vitamin mencukupi.

“Saya anggarkan BB boleh membesar sehingga mencapai berat satu tan sekiranya ia dijaga dengan baik serta mengikut kaedah yang betul. Memang harapan saya untuk menang dalam pertandingan ini, namun terserah kepada rezeki kerana lembu peserta lain juga tidak kurang hebatnya,” katanya.

Syaher Farhuddin berkata, dia teruja apabila menjadi peserta paling muda menyertai pertandingan itu.

“Seronok apabila berpeluang berkumpul dengan ramai penternak lembu sado pada pertandingan itu. Selain dapat menilai kualiti lembu sado sendiri, saya juga boleh melihat lembu sado terbaik di negeri ini,” katanya.

Berita Harian X