Ahad, 4 November 2018 | 8:02pm
MUKHRIZ bersalaman dengan pengerusi masjid yang hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Profesionalisme Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Daerah Kubang Pasu di Kem Paya Pahlawan. - Foto Sharul Hafiz Zam
MUKHRIZ bersalaman dengan pengerusi masjid yang hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Profesionalisme Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Daerah Kubang Pasu di Kem Paya Pahlawan. - Foto Sharul Hafiz Zam

Kerajaan komited kekalkan status bebas cukai di Langkawi

JITRA: Taraf Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai yang akan ditambahbaik seperti diumumkan melalui pembentangan Belanjawan 2019 membuktikan kerajaan komited untuk mempertahankan status kawasan pelancongan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pengumuman itu pastinya bermakna buat Kedah berikutan sebelum ini terdapat ura-ura bahawa status bebas cukai di Langkawi mahu ditarik balik oleh pimpinan pentadbiran terdahulu.

“Dulu terdapat ura-ura status bebas cukai di Langkawi akan ditarik balik (oleh kerajaan terdahulu) tetapi dalam Belanjawan 2019 ia memberi jaminan bahawa bukan setakat status itu dikekalkan namun turut mahu ditambah baik.

“Pastinya dalam usaha ke arah penambahbaikan itu, kita ada beberapa idea yang ingin dikemukakan kepada kerajaan pusat khususnya Kementerian Kewangan yang bertujuan ingin meletakkan Langkawi ke paras tinggi berbanding destinasi lain di rantau ini.

“Namun hingga kini kami belum sempat perincikan mengenai penambahbaikan itu dan kita akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan mengenainya,” katanya selepas merasmikan Kursus Profesionalisme Pentadbiran Jawatankuasa Masjid Daerah Kubang Pasu, di sini.

MUKHRIZ bersama pengerusi masjid yang hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Profesionalisme Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Daerah Kubang Pasu. - Foto Sharul Hafiz Zam
MUKHRIZ bersama pengerusi masjid yang hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Profesionalisme Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Daerah Kubang Pasu. - Foto Sharul Hafiz Zam

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan bahawa status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai akan diperkembangkan lagi.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk menjadikan Langkawi destinasi pelancongan yang setanding dengan negara jiran seperti Phuket dan Bali.

Justeru, katanya dengan komitmen ditunjukkan kerajaan persekutuan dalam usaha membangunkan Langkawi khusus melalui Belanjawan 2019, impian itu boleh direalisasikan.

“Sebenarnya kita ada beberapa cadangan untuk melonjakkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang dapat bersaing dengan Phuket dan Bali,” katanya.

Berita Harian X