Ahad, 28 Oktober 2018 | 5:15pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (duduk tengah) ketika sidang media di Pejabat Parlimen Simpang Renggam, hari ini. - Foto Adnan Ibrahim
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (duduk tengah) ketika sidang media di Pejabat Parlimen Simpang Renggam, hari ini. - Foto Adnan Ibrahim

Hentikan lupus sampah dari luar Simpang Renggam

SIMPANG RENGGAM: Penduduk kawasan ini mendesak kerajaan negeri menghentikan pembuangan sampah dari Batu Pahat dan Kluang ke sini, bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai dan bekalan air bersih yang meresahkan penduduk sejak lebih 10 tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata ketika ini Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP di Renggam mencapai kapasiti 430 tan sehari hingga menyebabkan pencemaran air.

Katanya, selain Simpang Renggam, Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP turut menerima sampah dari kawasan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dan Majlis Perbandaran Kluang (MPK).

“Isu masalah air dan pencemaran di Simpang Renggam sudah lebih 10 tahun dan kita sudah kenal pasti beberapa masalah yang menyebabkan isu ini, antaranya tapak pelupusan sampah dan pencemaran dari ladang ternakan ayam.

“Di Simpang Renggam sahaja terdapat 20 pengusaha ladang ternakan membabitkan ayam berjumlah empat juta dalam satu-satu masa. Jadi, mesyuarat hari ini adalah bagi membincangkan semua perkara ini.

“Sebelum ini, banyak pertemuan dan mesyuarat diadakan namun tiada tindakan dan tarikh penyelesaian. Jadi, hari ini saya menetapkan ‘deadline’ untuk semua bagi membolehkan isu air di Simpang Renggam pulih dan selesai pada tahun depan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama pihak berkaitan berhubung isu air bersih di pejabatnya di sini, hari ini.

Maszlee berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyelesaikan isu sampah di kawasan Simpang Renggam.

“Penduduk di sini tidak mahu lagi sampah dari kawasan luar dan saya akan melakukan segala apa yang perlu untuk memastikan tiada sampah dari kawasan lain memasuki Simpang Renggam.

“Saya mewakili penduduk Simpang Renggam mahu masalah ini diselesaikan secara menyeluruh dengan segera, membabitkan kerjasama semua agensi terbabit,” katanya.

Berita Harian X